Sekilas
- Stacy menganggap penyertaannya dalam Gegar Vaganza Fantasia (GVF) sebagai pengalaman yang sangat dinanti dan memberi inspirasi dalam perkembangan kerjayanya sebagai penyanyi.
- Beliau menjelaskan cabaran GVF berbeza dengan program nyanyian sebelum ini kerana penilaian 100% dibuat oleh juri berdasarkan vokal dan musicality tanpa undian penonton.
- Stacy melihat Gegar Vaganza sebagai pertandingan berprestij setaraf temasya Olimpik dan berasa teruja untuk menunjukkan persembahan terbaik setiap minggu.
Bintang Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Stacy menyifatkan penyertaannya dalam program tersebut sebagai satu pengalaman yang cukup dinanti-nantikan.
Menurut Stacy, program realiti nyanyian itu banyak memberikan inspirasi dan membantu perkembangan dirinya sebagai penyanyi menerusi persembahan serta komen yang diberikan sepanjang pertandingan berlangsung.
“Saya sendiri memang mengikuti Gegar Vaganza dari musim pertama sampai sekarang. Jadi, banyak perkara yang saya pelajari menerusi program ini, termasuk daripada persembahan peserta dan komen yang diberikan.
“Sebagai penyanyi, Gegar Vaganza banyak membantu saya dalam kerjaya. Jadi, saya tidak sabar untuk merancang persembahan setiap minggu dan mahu tahu apa komen serta pandangan mereka terhadap Stacy sekarang.
“Saya sendiri masih belajar dan mahu tahu apa kekurangan yang perlu diperbaiki. Walaupun kita sudah bergelar penyanyi dan mempunyai lagu sendiri, minat terhadap muzik membuatkan kita sentiasa mahu belajar. Memang sudah lama saya menantikan peluang ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Stacy turut menjelaskan bahawa pengalamannya menyertai The Hardest Singing Show sebelum ini tidak boleh disamakan dengan cabaran yang bakal dihadapinya menerusi GVF.
Jelasnya, kedua-dua program mempunyai konsep dan keutamaan berbeza, terutama dari segi penilaian persembahan.
“Semestinya berbeza kerana Dahsyat Singing Show lebih kepada apa perkara hebat yang boleh dilakukan oleh peserta untuk menghasilkan persembahan yang luar biasa.
“Sudah tentu Gegar Vaganza berbeza kerana ia bukan berdasarkan undian. Sebaliknya, 100 peratus penilaian diberikan oleh juri yang akan menilai sepenuhnya dari segi nyanyian dan musicality. Jadi, cabarannya lebih besar berbanding program sebelum ini kerana di sana peserta perlu bergerak dan membuat persembahan.
"Stacy mungkin sudah biasa membuat persembahan, tetapi menyanyi sahaja dengan memberi fokus sepenuhnya kepada vokal bukan sesuatu yang terlalu biasa bagi Stacy. Sebab itu Stacy turut berasa gementar,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai keterujaannya menyertai GVF, Stacy menganggap Gegar Vaganza sebagai sebuah pertandingan berprestij yang boleh disamakan dengan temasya sukan Olimpik.
“Sudah tentu Stacy teruja kerana sejak dahulu lagi Stacy melihat Gegar Vaganza ini seperti Olimpik.