Penyanyi, Shila Amzah menyifatkan program realiti nyanyian, Gegar Vaganza (GV) sebagai platform terbaik buat seseorang penyanyi untuk menghidupkan semula kerjaya seni mereka.
Berkongsi pengalamannya menyertai GV musim kesembilan pada 2022, Shila berkata program tersebut banyak membantunya membentuk disiplin baharu, terutama dari segi persediaan mental dan fizikal.
"Untuk Sha, GV ini memang satu platform yang sangat bagus untuk reboot kerjaya kita sebagai seorang penyanyi.
"Tak kiralah untuk penyanyi lama atau penyanyi muda (tak semuda yang masih boleh masuk Big Stage). Macam Sha masuk GV9 pada 2022, ketika itu Sha sudah 22 tahun dalam bidang ini.
"Masuk pertandingan seperti GV ini, kalau kita betul-betul berlatih seperti atlet, jaga pemakanan, tidur dan bersenam, memang kita dapat membentuk satu disiplin yang baharu. Mental dan fizikal pun jadi lebih kuat," katanya.
Bagaimanapun, Shila berpendapat penyertaan dalam pertandingan mingguan seperti GV memerlukan seseorang peserta untuk menyusun strategi dengan teliti, khususnya dalam pemilihan lagu dan persediaan persembahan.
Sebagai alumni, penyanyi itu mengingatkan lagu berentak balada bukan satu-satunya pilihan untuk meraih markah tinggi daripada juri.
"Cuma apabila kita masuk pertandingan mingguan seperti ini, kita kena susun strategi dan 'senjata' yang betul.
"Contohnya, kalau ada 12 minggu, setiap minggu mempunyai tema dan lagu yang berbeza. Jadi, kita memang kena pilih lagu yang betul.
"Tak semestinya lagu balada sahaja boleh dapat markah tinggi. Usaha kita untuk memperbaharui lagu dan persembahan juga diambil kira dalam pemarkahan," ujarnya.
Pada masa sama, Shila turut menitipkan kata-kata semangat buat semua peserta GV musim ini agar memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.
"Apa-apa pun, all the best kepada abang-abang dan kawan-kawan yang masuk tahun ini! Semoga Tuhan permudahkan urusan kalian. Jaga kesihatan okey," tulisnya.