Sekilas
- Gwyneth Paltrow dikritik hebat selepas membintangi iklan projek mewah 51 Park di Herzliya, Israel.
- Iklan itu menimbulkan kontroversi kerana Herzliya terletak di tanah Palestin yang dirampas melalui proses kolonial Zionis.
- Peminat meninggalkan komen kecaman dan simbol sokongan Palestin di media sosial Paltrow sebagai tanda protes.
Aktres Gwyneth Paltrow dihujani kritikan dan kecaman selepas dilihat membintangi sebuah iklan yang mempromosi projek mewah di Israel. Paktrow, 53, dilihat mempromosikan sebuah projek yang dikenali sebagai 51 Park iaitu bangunan mewah setinggi 51 tingkat yang dibangunkan di kawasan pesisir Herzliya di Utara Tel Aviv, lapor CNN.
Menerusi iklan tersebut, Paltrow dilihat tampil memberi pandangan mengapa banyak pembangunan mewah dan ikonik di dunia terdapat di kawasan taman. Ketika ditanya adakah projek bangunan yang dipamerkan berada di New York, mantan isteri Chris Martin itu menjawab: “Herzliya. Israel."
Ironi Herzliya merupakan sebahagian daripada tanah Palestin yang dirampas Israel melalui proses kolonial Zionis. Orang Yahudi telah mengusir rakyat Palestin dalam peristiwa Nakba yang berlaku pada tahun 1948.
Meski Paltrow tidak berkongsi iklan tersebut di platform media sosial miliknya, bintang Iron Man itu menerima kecaman yang cukup hebat. Malah peminat meninggalkan komen dan pelbagai kecaman di akaun media sosialnya sebagai tanda protes mengenai keterlibatannya dalam iklan yang mempromosi Israel.
Ramai yang berpendapat tindakan Paltrow mempromosikan projek yang berjalan di Israel sewaktu Gaza masih hancur lebur dimusnahkan Zionis sebagai tidak mempunyai empati.
Ada juga yang dengan lantang menyifatkan Paltrow sebagai menjijikkan serta menggelarkan dirinya dengan panggilan Gwynocide.
Selain mengecam, peminat turut meninggalkan foto bendera Palestin dan laungan 'Free Palestine' dalam berbagai bahasa di kolum komen milik Paltrow.