Sekilas
- Fauziah Latiff akan mengadakan konsert solo pertamanya bertajuk 4 Decades Fauziah Latiff: Live in Concert pada 9 Mei ini selepas 40 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
- Konsert ini menampilkan lagu-lagu ikoniknya seperti Dia, Sekali Ini Saja, dan Teratai Layu Di Tasik Madu, sebagai penghargaan kepada peminat yang menyokongnya selama ini.
- Tiket akan dijual mulai 26 Januari dengan harga bermula RM299 hingga RM6999 untuk kategori Super VIP yang termasuk sesi meet & greet dan fine dining eksklusif bersama Fauziah.
Selepas empat dekat bergelar penyanyi, Fauziah Latiff bakal muncul dengan konsert solo yang pastinya membuatkan ramai peminatnya teruja.
Fauziah atau nama lengkapnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff walau bagaimanapun memohon maaf kepada peminat kerana mengambil masa yang lama untuk tampil dengan konsert solo pertama.
Perjelas Fauziah yang mesra disapa Kak Gee, ada saja penganjur yang ‘melamar’nya untuk mengadakan konsert namun, dia terpaksa menolak kerana merasakan seperti memikul satu tanggungjawab yang besar.
“Saya tak pernah merasa ralat menunggu selama 40 tahun untuk akhirnya mengadakan konsert solo.
“Wallahi, rasa takut tentu sekali ada untuk menerima tawaran ini. Walaupun saya hanya mengambil masa kurang sebelum menyatakan persetujuan.
“Ketakutan itu tentunya kerana merasakan tanggungjawab besar yang harus dipikul. Tapi bila fikir-fikir semula, saya dah melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun, jadi tiba masa untuk saya terima cabaran ini.
“Konsert ini juga adalah sebagai tanda balasan saya kepada peminat di Atas sokongan dan membesar dengan lagu-lagu saya,” katanya kepada Gempak.
Fauziah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media konsertnya bertempat di Mandarin Oriental, pada Rabu.
Ketika ditanya mengenai keterbukaannya untuk mengadakan konsert pada Mei ini, pelantun lagu Enggan itu memaklumkan dia tertarik dengan dengan etika kerja penganjur, Ideatelier yang diterajui pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail.
“Saya ada prinsip dalam kerja, jadi bila melihat etika kerja pasukan Ezuwan yang sangat bersistematik, saya terkedu dan kagum.
“Kecekapan mereka itulah yang membuatkan saya bersetuju untuk menerima tawaran mereka.
“Saya nak kembalikan semula memori suatu masa dulu terutama sekali di zaman Kau Merubah Segalanya,” katanya lagi.
Bakal diadakan pada 9 Mei depan, konsert yang diberi nama 4 Decades Fauziah Latiff: Live in Concert ini bakal menampilkan barisan lagu ikonik yang menjadi tanda aras perjalanan seni Fauziah Latiff, antaranya Dia, Sekali Ini Saja, Teratai Layu Di Tasik Madu, Setia Ku Korbankan, Menanti Di Ambang Syurga dan banyak lagi.
Tiket akan mula dijual dengan harga bermula RM299 sehingga RM6999 (Super VIP).
Apa yang menarik, bagi kategori Super VIP yang terhad kepada 36 orang, pembelian tiket mereka akan disertai dengan ‘meet & greet’ serta ‘exclusive fine dining’ bersama Fauziah Latiff serta satu persalinan ‘couture dress’ dari Ezuwan Ismail bernilai RM15,000.
Dapatkan tiket anda di laman web www.ticket2u.com.my bermula 26 Januari ini.