Sekilas
- Hafiz Suip berkongsi berita gembira isteri beliau kini hamil tujuh bulan dan mereka bakal menimang cahaya mata lelaki pertama.
- Hafiz memberi tumpuan penuh kepada isteri yang sarat mengandung serta berharap proses kelahiran berjalan lancar dan bayi sihat.
- Selain itu, Hafiz turut prihatin tentang kesihatan bapanya yang tinggal di Kuching dan kini berada dalam keadaan baik.
Penyanyi Hafiz Suip berkongsi berita gembira apabila isterinya kini sedang sarat hamil cahaya mata pertama mereka.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 34, berkata dia kink lebih memberi tumpuan penuh kepada isterinya, Fiona Saffiyya yang sedang hamil tujuh bulan.
“Sekarang ini isteri sedang sarat mengandung. Saya pula jenis yang kalau bekerja memang akan sentiasa memberikan 100 peratus komitmen,” katanya kepada Gempak.
Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pengumuman calon Anugerah Bintang Popular ke-38 (ABPBH38) di Ombak KLCC pada Sabtu.
Berkongsi lanjut mengenai perkembangan kehamilan isterinya, Hafiz turut berkongsi mereka bakal menyambut kelahiran bayi lelaki tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, usia kandungan isteri saya sekarang sudah mencecah tujuh bulan dan jantinanya adalah lelaki.
“Rezeki anak lelaki lagi, tetapi apa-apa pun yang paling penting anak dalam kandungan berada dalam keadaan sihat dan urusan bersalin nanti berjalan lancar, itu sahaja harapan saya,” ujarnya.
Selain isteri sarat hamil, Hafiz juga mahu memberi tumpuan kepada kesihatan bapanya yang tinggal di Kuching, Sarawak.
“Dia sihat cuma tinggal seorang diri. Saya pernah membawa dia berpindah ke Kuala Lumpur sebelum ini, tetapi dia lebih selesa tinggal di Sarawak kerana banyak memori di sana.
“Bagaimanapun alhamdulillah, keadaan ayah sekarang semakin baik dan dia meluangkan masa bersama adik-beradik serta ibunya yang masih ada,” jelasnya.