Sekilas
- Haidar Hasanudin bersyukur menerima pujian positif daripada penonton yang tidak pernah mengenalinya sebelum ini melalui lakonannya sebagai Syafiq dalam drama Cinta Dalam Sekam.
- Haidar sentiasa berhati-hati agar tidak terlalu hanyut dengan pujian supaya terus memperbaiki diri dalam karya akan datang.
- Banyak mesej yang diterima Haidar menunjukkan penonton mula memberi perhatian selepas menonton lakonannya, mengakui mereka menilai berdasarkan persembahan sebenar.
Pelakon Haidar Hasanudin meluahkan rasa syukur apabila menerima pelbagai reaksi positif daripada penonton terhadap lakonannya sebagai Syafiq dalam drama Cinta Dalam Sekam.
Menurut Haidar, pujian yang diterima amat bermakna kerana kebanyakannya datang daripada penonton yang sebelum ini tidak pernah mengenalinya atau mengikuti hasil kerjanya.
"Sejujurnya memang saya baca komen-komen positif di media sosial. Saya sangat menghargainya sebab saya rasa bersyukur apabila komen itu datang daripada orang yang tak pernah kenal saya.
"Jadi mereka tak bias. Maksudnya bukan orang yang memang dah suka saya dari dulu. Mereka betul-betul menilai berdasarkan lakonan yang mereka tengok ketika itu," katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Haidar mengakui dia sentiasa berhati-hati agar tidak terlalu hanyut dengan pujian kerana bimbang ia membuatkan dirinya cepat berpuas hati.
"Kadang-kadang pujian ini membahayakan juga. Jadi saya cuma baca sekali imbas, ucap terima kasih sebab saya takut hanyut dengan kata-kata itu, lepas itu dah tak ada rasa nak perbaiki diri.
"Saya hargai semua yang komen dan mesej saya secara peribadi. Saya anggap ia sebagai satu penghargaan dan juga semangat untuk saya terus buat yang lebih baik dalam karya-karya akan datang," ujarnya.
Dalam pada itu, Haidar turut berkongsi mesej-mesej yang paling menyentuh hatinya sepanjang drama tersebut ditayangkan.
Katanya, ramai penonton menghubunginya untuk mengakui mereka tidak pernah mengenali dirinya sebelum ini, namun mula memberi perhatian selepas menyaksikan persembahannya sebagai Syafiq.
"Kebanyakan mesej yang saya dapat semuanya cakap, 'Haidar, maaf, saya tak pernah kenal awak sebelum ini, tak pernah tengok cerita yang awak berlakon, tapi saya nak puji lakonan awak sebagai Syafiq’.
"Bila dapat mesej macam itu, memang terharu. Sebab maknanya mereka betul-betul tengok dan menilai saya daripada sudut lakonan," katanya.