Sekilas
- Azhan Rani berasa kurang selesa apabila dipanggil dengan nama 'Rani' yang sebenarnya adalah nama arwah bapanya.
- Dia cuba menerangkan perkara itu dengan baik, tetapi sering mendapat respons yang membuatkan dia rasa tidak dihormati.
- Azhan memberi contoh nama selebriti lain untuk menunjukkan bahawa memanggil seseorang dengan nama keluarga mereka secara salah adalah tidak sopan.
Pelakon Azhan Rani mengakui dia berasa kurang selesa apabila ada segelintir individu memanggilnya dengan nama ‘Rani’.
Azhan berkata dia cuba untuk menerangkan cara baik bahawa nama ‘Rani’ adalah arwah bapanya namun respons yang diterima membuatkan dirinya berasa tidak selesa.
“Nama aku Azhan Bin Abdul Rani… untuk mudahkan aku guna Azhan Rani. Cuma sampai sekarang aku tak paham bila orang panggil aku Rani atau abang Rani.
“Itu nama arwah abah aku. Kadang-kadang bila berdepan dengan situasi ni aku cuba terangkan cara baik. Rani itu nama arwah abah aku.
“Tapi selalunya respons yang aku dapat orang tu akan ketawa tak ada perasaan. Hakikatnya aku tak selesa dan mula menyampah,” katanya.
Pelakon drama siri Bulan Henti Bicara itu turut memberikan beberapa contoh nama selebriti lain bagi menjelaskan perkara tersebut.

“Sekadar contoh, Rosyam Nor korang panggil Nor ke? Pekin Ibrahim korang panggil Ibrahim ke? Fauzi Nawawi ada ke korang panggil Nawawi?
“Remy Ishak ada ke korang panggil Ishak? Kau memang tak tahu ke kau mengada-ngada?Tak tahu tak apa tapi bila kau gelakkan aku rasa kau biadab,” ujarnya.
Sumber - Facebook