Sekilas
- Diana Danielle menegaskan dia mula mengenali kekasihnya, Bern, selepas tempoh idah dan tidak pernah berjumpa dengannya ketika masih berkahwin.
- Dia kini lebih terbuka berkongsi hubungan cinta tersebut dan menghargai Bern yang dianggap lelaki baik dan disukai ramai.
- Diana masih memerlukan masa sebelum membawa hubungan ke fasa perkahwinan walaupun ibunya sudah mula bertanya soal kahwin.
Pelakon Diana Danielle tampil menjelaskan kehadiran kekasihnya yang dikenali sebagai Bern dalam hidupnya bukan ketika dirinya masih berstatus isteri malah menegaskan dia tidak pernah mengenali lelaki tersebut dalam tempoh idah.
Pernah berasa bimbang dengan ‘mulut manusia’, Diana memberitahu dia hanya mengenali pasangannya itu ketika di sebuah rumah terbuka sebelum menjalinkan hubungan cinta.
“Kami berkenalan sejak tahun lalu. Kenapa saya tidak mahu dedahkan sebelum ini sebab saya takut orang salah faham, mengatakan dia pernah hadir dalam hidup saya ketika saya masih berkahwin.
“Hakikatnya, saya tidak pernah kenal dia sebelum saya habis tempoh idah. Tetapi mulut manusia ini membuatkan saya risau. Jadi untuk jelaskan, memang saya tidak kenal dia sebelum itu.
“Kami berkenalan di sebuah rumah terbuka. Dari situ, kami mengambil masa yang agak lama untuk saling mengenali sebelum kami, orang kata, mengisytiharkan satu sama lain sebagai pasangan,” katanya kepada Gempak.
Diana berkongsi perkara tersebut ketika majlis Rumah Terbuka Raya Terbang yang diadakan di Kingston Hotel Premium @ Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Diana lagi, dia kini lebih terbuka berkongsi hubungan cintanya kerana ingin menghargai kekasihnya yang disifatkan seorang lelaki yang baik dan disukai ramai.
“Sekarang ini, saya rasa dulu saya takut tentang apa orang akan fikir, tetapi kini saya sangat berbangga mempunyai dia sebagai pasangan. Saya rasa dia seorang lelaki yang sangat baik, dihormati, dan disukai ramai.
“Saya mahu meraikan fasa dalam hidup saya ini, di mana saya hanya mahu menghargai orang yang menjaga dan menyayangi saya, sebagaimana saya menyayangi mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Diana turut berkongsi momen ibunya berseloroh bertanyakan mengenai kahwin pada kekasihnya yang datang ke rumah dengan baju Melayu warna putih.
Bagaimanapun Diana memberitahu dia masih memerlukan lebih banyak lagi masa untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius iaitu berkahwin.
“Kalau ada (kahwin), nanti saya jemput. Ibu saya pun tadi ada tanya ‘bila nak kahwin?’ sebab dia (Bern) pakai baju Melayu warna putih hari ini. So, dia dah kena ‘sound’ la dengan ibu saya tadi.
“Bagi saya, kami masih dalam fasa belum ke tahap itu (kahwin) lagi la. Sebab saya rasa masih banyak lagi masa yang saya perlukan, masa yang anak-anak perlukan, untuk nak kami ke fasa yang lebih serious,” katanya.
Untuk rekod, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad serta Nur Aurora.
Pasangan itu pernah bercerai secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua dengan talak satu pada 23 Mac 2025.