Sekilas
- Hilary Swank pertahankan keputusan untuk hamil anak ketiga pada usia 52 tahun walaupun menerima kritikan mengenai usianya.
- Pelakon itu kritik sikap masyarakat yang lebih mudah menghakimi wanita berbanding lelaki apabila berkaitan memiliki anak pada usia lanjut.
- Hilary umum kehamilan ketiga pada Oktober lalu dan dijangka melahirkan bayi pada Disember, selepas mempunyai pasangan kembar pada usia 48 tahun.
Pelakon Hollywood, Hilary Swank tampil mempertahankan keputusannya untuk menimang cahaya mata ketiga pada usia 52 tahun selepas menerima kritikan segelintir pihak yang menganggap dirinya terlalu berusia untuk hamil.
Pemenang dua Anugerah Oscar itu turut mempersoalkan sikap masyarakat yang dilihat mempunyai penilaian berbeza terhadap lelaki dan wanita apabila berbicara mengenai soal memiliki anak pada usia lanjut.
Menurut Hilary, wanita sering menerima kecaman apabila memilih untuk menjadi ibu pada usia lebih matang, sedangkan perkara sama jarang dipersoalkan apabila melibatkan lelaki.
“Wanita menerima banyak kritikan apabila mempunyai anak pada usia lebih lanjut, tetapi perkara sama tidak berlaku kepada lelaki. Menarik, bukan?” katanya ketika berbual bersama pelakon dan pengacara Drew Barrymore dalam sedutan program The Drew Barrymore Show.
Drew yang juga ibu kepada dua cahaya mata bersetuju dengan pandangan tersebut dan menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang pelik.

Menurutnya, terdapat lelaki yang masih mempunyai anak ketika berusia lingkungan 80-an, namun tidak menerima kecaman seperti yang dihadapi wanita.
Dalam perkongsian sama, Hilary turut mengenang pengalaman apabila seorang wanita pernah mempertikaikan keputusannya untuk memiliki anak pada usia lewat 40-an.
“Berani betul awak! Awak sudah terlalu tua,” demikian kata-kata yang pernah diterimanya.
Bintang filem Million Dollar Baby itu sebelum ini melahirkan pasangan kembar, Aya dan Ohm pada 2023 ketika berusia 48 tahun.
Bagaimanapun, Hilary tidak membiarkan pandangan negatif orang lain menghalangnya daripada menikmati kebahagiaan membina keluarga bersama suaminya, Philip Schneider.
Pada 14 Oktober lalu, pelakon itu mengumumkan berita kehamilan ketiganya menerusi sebuah video kreatif yang dimuat naik di Instagram.
Video berkenaan memperlihatkan Hilary bersama suami dan pasangan kembar mereka menari menggunakan lampu bercahaya sebelum memberi bayangan mengenai kehadiran ahli keluarga baharu.
“Ramai yang bertanya apakah projek saya selepas ini. Projek ini akan dilancarkan pada Disember,” tulisnya secara berseloroh.
Pengumuman tersebut sekali gus memberi bayangan bahawa bayi ketiganya dijangka dilahirkan pada Disember depan.
Untuk rekod, Hilary dan Philip mendirikan rumah tangga pada 2018 sebelum dikurniakan pasangan kembar lelaki dan perempuan lima tahun kemudian.
Sumber: E! News