Skip to main content

Selebriti

Hampir ‘Burn Out’, Aniq Suhair Faham Realiti Kerja ‘Dua Tiga Job’ Dalam Satu Masa - “Kalau Dah Mula Rasa Tak Larat, Jangan Paksa Diri…”

Aniq Suhair Hampir Burn Out

Sekilas

  • Aniq Suhair hampir mengalami keletihan melampau akibat jadual kerja yang padat dan komitmen lain yang perlu diuruskan serentak.
  • Dia menekankan pentingnya pembahagian masa yang baik antara minat dalam seni dan tanggungjawab lain supaya dapat menerima tawaran lakonan dengan lebih teratur.
  • Aniq bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Zero yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi dan dijangka ditayangkan tahun hadapan.

Pelakon, Aniq Suhair mendedahkan dirinya hampir mengalami keletihan melampau atau burn out berikutan jadual kerja yang terlalu padat selain perlu menguruskan beberapa komitmen dalam satu masa.

Bagaimanapun kata Aniq, setiap tawaran adalah rezeki, namun pembahagian masa antara minat dalam industri seni dan komitmen lain membuatkan dirinya menjadi lebih teliti dalam menyusun jadual harian.

“Sebenarnya saya tak memilih untuk berlakon dalam filem atau drama, apa sahaja tawaran yang saya dapat itu rezeki, cuma tengok pada waktu jugalah.

“Sekarang ini saya ada komitmen yang lain, jadi saya sedang bahagikan masa antara hobi dan minat dalam industri seni ini juga.

“Sebenarnya saya hampir burn out, sebab saya buat dua tiga kerja dalam satu masa, tetapi bila difikirkan kembali, menjadi seorang pelakon ini memang begitulah realitinya.

“Saya boleh terima tawaran tetapi kena bahagikan jadual, kalau pihak produksi boleh terima dan ikut jadual saya, insya-Allah saya boleh buat,” ujarnya.

Aniq berkata demikian ketika ditemui usai acara pra pelancatan filem terbaharu lakonannya berjudul Zero bertempat di Pavillion, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Aniq juga sempat berpesan kepada orang ramai supaya tidak memaksa diri untuk terlalu bekerja hingga menjejaskan kesihatan.

“Apabila saya bandingkan diri saya, seorang pelakon dengan mereka di luar sana yang melakukan dua hingga tiga pekerjaan sekali gus, saya semakin memahami situasi mereka, mereka sebenarnya jauh lebih burn out.

“Saya sendiri pun hampir ke tahap itu, cuma saya ingin menasihatkan semua orang agar jangan terlalu memaksa diri bekerja.

“Kalau sudah mula rasa tak larat atau hampir burn out, jangan paksa diri sampai benar-benar tidak mampu nak lakukan. Kesihatan itu sangat penting dan perlu dijaga,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaharu Aniq bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Zero yang merupakan karya pengarah hebat, Andre Chiew.

Selain Aniq, Zero dibintangi oleh Hun Haqeem, Tony Eusoff, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Sazzy Falak, Sathisvaran, Iedil Dzuhrie Alaudin, Que Haidar, Farah Ahmad, Hana Roanne dan Zed Zaidi.

Filem ini akan memulakan penggambaran tidak lama lagi ini dan dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

Must-Watch Video

Advertisement