Sekilas
- Zizi Kirana mengalami gangguan tidur akibat jadual kerja dan perjalanan padat ke beberapa negara dalam tempoh singkat, termasuk misi kemanusiaan dan urusan peribadi.
- Waktu bekerja di studio dari 9 malam hingga 5 pagi menyebabkan jam biologinya masih mengikut waktu Eropah, menjejaskan kualiti tidurnya di Malaysia.
- Walaupun keletihan, Zizi bersyukur kesihatannya baik kerana konsisten mengambil vitamin dan memaksa diri berehat apabila badan benar-benar penat.
Penyanyi, Zizi Kirana mengakui mengalami gangguan tidur selepas melalui jadual kerja dan perjalanan yang padat ke beberapa negara dalam tempoh singkat.
Menurut Zizi, keletihan yang dialami bukan sahaja berpunca daripada komitmen seni, malah turut melibatkan misi kemanusiaan serta urusan peribadi yang perlu diselesaikan dalam masa yang sama.
“Sebab saya rasa sebelum pergi Sumud saya ada pergi misi di Aceh, badan dah penat tapi kena fokus untuk siapkan lagu dan selesaikan hal-hal mahkamah. Selesai sahaja saya terus pergi Mesir, jadi saya rasa badan saya dah macam back to back dan tak ada rehat yang proper. Mental dan physical masa itu. Bila sampai Mesir, saya dah lupa dah yang tentang apa jadi dekat Malaysia.
“Sampai sana saja saya dah sibuk dengan macam-macam benda, angkat barang sana sini jadi memang tak terfikir dah. Waktu Mesir dengan Malaysia 6 jam beza, dah tukar waktu pula, jadi duduk sana 10 hari. Lepas itu, bila settle Mesir, kena pergi Spain pula. Duduk hampir seminggu juga. Lepas itu, tukar pergi Itali pula lagi.
“Pergi Itali, and then balik Malaysia itu sekejap, saya rasa macam balik Malaysia itu pun dalam lima hari jalan macam-after untuk settlekan hal-hal penting. Lepas itu, pergi studio. Bayangkan kalau saya pergi studio, memang timing studio itu adalah 9.00 malam ke 5.00 pagi. So, saya punya yang daripada Europe punya timing ini, bila balik Malaysia, masih terbawa.
“So, itu yang saya boleh siapkan kita orang rekod lagu apa semua, cergas! orang kat sini tidur, saya tengah bekerja. Selepas itu, pergi Marmaris duduk seminggu dekat situ juga. And then, pergi ke Istanbul lagi. Sebabnya itu saya rasa tidur saya terganggu,” katanya kepada Gempak.
Tambah Zizi, sepanjang berada di luar negara, jadualnya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sehingga tidak sempat memikirkan perkara lain.
Menurut penyanyi berusia 41 tahun itu, waktu bekerja di studio yang bermula dari pukul 9 malam hingga 5 pagi menyebabkan jam biologinya masih mengikut waktu Eropah.
"Bila sampai Mesir, saya dah lupa apa yang berlaku di Malaysia. Di sana kami sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk mengangkat barang dan sebagainya.
"Lepas 10 hari di Mesir, saya ke Sepanyol hampir seminggu, kemudian ke Itali. Balik Malaysia pula sekejap saja, sekitar lima hari untuk selesaikan urusan penting sebelum masuk studio.
"Bila balik Malaysia, badan saya masih terbawa-bawa dengan waktu Eropah. Jadi bila orang lain tidur, saya pula tengah cergas bekerja di studio untuk rakaman lagu. Lepas itu saya ke Marmaris selama seminggu dan kemudian ke Istanbul pula. Saya rasa semua perjalanan inilah yang menyebabkan waktu tidur saya terganggu," ujarnya.
Bagaimanapun, Zizi bersyukur keadaan kesihatannya masih berada dalam keadaan baik kerana sentiasa mengamalkan pengambilan vitamin sebagai ikhtiar menjaga diri.
"Alhamdulillah saya tidak jatuh sakit. Memang saya jenis yang konsisten mengambil multivitamin dan vitamin C. Saya mula biasakan diri makan vitamin sejak mengikuti misi kemanusiaan. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan kesihatan yang baik agar dapat melaksanakan misi tanpa sebarang masalah. Itu usaha saya," katanya.
Mengulas mengenai usahanya untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, Zizi berkata dia kini terpaksa memaksa dirinya berehat apabila badan benar-benar keletihan.
"Saya paksa diri untuk tidur. Selalunya saya akan biarkan badan saya betul-betul penat. Kadang-kadang saya pergi buat roti di rumah Kak Umi.
"Bila dah penat, saya balik, cuci muka, mandi dan rasa sangat mengantuk. Masa itu saya fikir, 'Alhamdulillah, akhirnya dapat tidur'. Tapi selalunya pukul 11 malam saya tidur, kemudian pukul 12 sudah terjaga semula," katanya.