Sekilas
- Linda Rafar mengambil masa hampir dua tahun untuk menerima pemergian anaknya, Allahyarham Rezaimin Keiflin, yang meninggal dunia pada Julai 2014.
- Dia berkongsi pengalaman mendengar suara anaknya selepas pemergian dan bermimpi menerima panggilan telefon daripada arwah yang memberi ketenangan hati.
- Mimpi tersebut menjadi petanda dan kekuatan buat Linda untuk terus meneruskan kehidupan selepas kehilangan anaknya.
Penyanyi, Linda Rafar mendedahkan dia mengambil masa hampir dua tahun untuk menerima pemergian anak tercintanya, Allahyarham Rezaimin Keiflin yang meninggal dunia pada Julai 2014 yang lalu.
Menurut Linda, dia juga seakan masih terdengar suara anaknya yang mesra disapa Memen itu kira-kira tiga bulan selepas meninggal dunia.
“Dua tahun (saya ambil masa). Tiga bulan selepas dia pergi, hampir setiap malam saya terdengar suara dia panggil dekat pintu untuk cuci dia punya stoma bag. Sebab itu yang saya buat hari-hari.
“Saya betul-betul bangun, kemudian cari, ‘Eh, tak ada dah Memen’,” kongsinya.
Linda berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu sesi podcast Studio Sembang yang dikendalikan pengacara dan pelakon, Amelia Henderson.
Bercerita lanjut, pelantun lagu Hak Milik Kekal ini berkata dia juga pernah memohon kepada Allah agar diberikan peluang untuk bermimpi akan anaknya itu kerana terlalu rindu dan sedih dengan pemergiannya.
Tidak disangka, Linda kemudiannya mendakwa dia bermimpi menerima panggilan telefon daripada Memen yang memaklumkan bahawa dia kimi berada dalam keadaan baik.
“Saya nak tahu siapa jaga dia sebab saya jaga dia hari-hari. Malam itu, betul-betul saya dapat call daripada dia. Tiba-tiba phone saya ringing, Memen calling.
“Dia kata, ‘Mama jangan risau, Memen okey. Memen dekat atas bukit, tempat sejuk. Ramai anak-anak yang meninggal bawah umur dijaga oleh Nabi Ibrahim dengan isteri,’” kongsinya.
Menerusi mimpi itu, Linda turut dimaklumkan Memen untuk tidak terlalu memikirkankan tentangnya kerana dia kini berada dalam keadaan yang baik.
“Dia kata lagi, ‘Mama jangan risau. Mama risaukan diri mama saja. Mama fikir macam mana mama nak buat kebaikan untuk mama sampai kat tempat Memen ni.’
“‘Okeylah, nanti Memen call balik ya Ma. Okey, I love you,’” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Linda menyifatkan mimpi tersebut sebagai satu petanda untuknya meneruskan kehidupan selepas kehilangan Memen.
“Perkara itu membuatkan saya terus kuat. Sebab kita jaga anak kita, kan? Macam you ada baby, you hari-hari main dengan baby, tiba-tiba baby you pergi. Mesti you fikir, ‘Eh, tadi pagi aku bagi dia susu, bawa dia jalan, dekat sana siapa nak buat untuk dia?’
“Itu persoalan saya dan saya dah dapat jawapan. Allah tu baik sangat, saya minta terus dapat. Alhamdulillah,” katanya lagi.
Untuk rekod, Memen meninggal dunia pada Julai 2014 akibat ketumbuhan kronik dalam perut.
Rezaril dan Rezaimen merupakan anak hasil perkahwinan Linda dengan bekas pelumba kereta, Keifli Othman.
Sumber: TikTok