Sekilas
- Kaka Azraff menafikan hantaran di Threads ditujukan kepada bekas suaminya, sebaliknya ia berdasarkan pengalaman hidup dan cerita orang sekeliling.
- Dia kini berada dalam fasa kehidupan yang membolehkan dia berkongsi pengalaman untuk memberi inspirasi kepada mereka yang menghadapi situasi serupa.
- Kaka juga gemar membaca kisah orang lain untuk refleksi diri dan berharap perkongsiannya dapat memberi semangat dan motivasi kepada orang lain.
Penyanyi, Kaka Azraff menafikan dakwaan mengatakan hantaran yang dimuat naik di platform Threads baru-baru ini ditujukan kepada bekas suaminya, Adam Azriff.
Menurut Kaka, setiap perkongsian yang dibuat bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara spesifik, sebaliknya berdasarkan pengalaman hidup serta cerita yang dikongsikan oleh orang di sekelilingnya.
“Bila saya bercerita apa-apa, itu bukan ditujukan spesifik tentang seseorang, saya memang bercakap itu berdasarkan pengalaman.
“Bukan sahaja daripada pengalaman saya, sebaliknya pengalaman orang lain juga ada, bila mereka bercerita, itu pun pengalaman juga,” katanya.
Kaka berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media kedua AIM25 di Royale Chulan Kuala Lumpur, pada Rabu.
Tambah Kaka lagi, dia kini berada pada fasa kehidupan yang membolehkan dirinya berkongsi pengalaman dan memberi semangat kepada mereka yang sedang melalui situasi sama.
“Saya rasa saya berada pada fasa yang sudah melalui semuanya, kehilangan ibu bapa, kehilangan adik beradik, perceraian, perkahwinan, anak.
“Jadi saya rasa ada sesuatu untuk saya kongsikan dengan niat untuk berkongsi supaya mereka yang berada dalam keadaan yang sama macam saya, lebih kurang atau mungkin lebih teruk, boleh mendapat inspirasi daripada perkongsian itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kaka mengakui dirinya juga gemar membaca perkongsian atau kisah individu lain ketika berdepan sesuatu situasi kerana ia membantunya melakukan refleksi terhadap diri sendiri.
“Sebab saya pun begitu juga. Bila saya berada dalam sesuatu situasi, saya suka cari orang yang bercerita dan saya boleh kaitkan dengan diri saya untuk saya tengok balik dan refleksi diri.
“Saya berkongsi untuk beri inspirasi dan motivasi kepada orang lain supaya mereka jadi kuat.
“Saya pernah berada di titik sebegitu, jadi daripada perkongsian orang lain, saya mendapat semangat. Saya harap apabila saya berkongsi, saya juga dapat memberikan semangat kepada mereka,” katanya.