Sekilas
- Haidar Hasanudin mengakui menjalani prosedur tanam jambang untuk memastikan pertumbuhan jambang wajahnya lebih seimbang dan kemas demi tuntutan kerjaya lakonan.
- Beliau menekankan pentingnya penjagaan diri termasuk kulit bagi semua orang, bukan hanya selebriti, dengan rutin asas seperti memakai pelembap dan pelindung matahari.
- Haidar kini membintangi drama romantik 12 episod Cinta Dalam Sekam yang distrim secara eksklusif di platform Viu sejak 16 Julai lalu.
Pelakon meningkat naik, Haidar Hasanudin mengakui ada menjalani prosedur tanam jambang (beard transplant) bagi mendapatkan penampilan yang lebih kemas demi tuntutan kerjaya lakonannya.
Menurut Haidar, keputusan itu dibuat bukanlah untuk mengubah rupa parasnya, sebaliknya mahu memastikan pertumbuhan jambang pada wajahnya kelihatan lebih seimbang.
“Terus terang, memang saya buat prosedur tanam jambang. Sebelum ini jambang saya hanya tumbuh di sebelah kanan. Kalau dibiarkan, memang nampak tidak seimbang.
“Sebab itu saya pilih untuk seimbangkan pertumbuhan pada kedua-dua belah. Lagipun ada watak tertentu memerlukan penampilan sebegitu, jadi saya anggap ini juga sebahagian daripada pelaburan untuk kerjaya.
“Bukanlah hendak tampil dengan imej baharu kerana sebelum ini memang sudah ada jambang. Cuma selepas prosedur itu, pertumbuhannya lebih kemas dan cantik,” katanya kepada Gempak.
Haidar berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Cinta Dalam Sekam dan What’s Next On Viu di Odeon Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Haidar berpendapat bahawa amalan menjaga penampilan diri bukan hanya termaktub pada golongan selebriti semata tetapi wajar dipraktikkan semua pihak.
“Bagi saya, penjagaan diri bukan hanya untuk pelakon. Semua orang patut menjaga penampilan.
“Saya memang sudah lama belajar tentang penjagaan kulit. Lelaki pun perlu pakai pelembap, pelindung matahari dan menjaga kesihatan kulit. Apabila bekerja dalam industri, kita memakai mekap setiap hari, jadi kalau tidak dijaga, kulit mudah terjejas.
“Saya juga akan ke spa sebulan sekali, biasanya selepas selesai sesuatu projek. Tujuannya sekadar membersihkan liang pori dan menghilangkan kesan solekan. Penjagaan saya sangat asas, tidak ada yang berlebihan,” katanya lagi.
Menjawab pula persoalan mengenai trend segelintir selebriti yang memilih menjalani pelbagai prosedur kosmetik bagi meningkatkan keyakinan diri, Haidar memilih untuk tidak mengulas panjut dan menghormati keputusan masing-masing.
“Bagi saya, itu pilihan masing-masing. Saya tidak boleh mengulas tentang individu yang mahu membentuk hidung, wajah atau melakukan prosedur lain kerana mungkin itu memberi keyakinan kepada mereka.
“Cuma saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada saya. Bagi diri saya, apa yang ada sekarang sudah lebih daripada mencukupi.
“Jadi saya tidak rasa perlu melakukan perubahan lain. Itu pendirian saya, bukan bermaksud saya mahu mengkritik pilihan orang lain,” ujarnya..
Dalam perkembangan lain, Haidar kini membintangi drama romantik 12 episod Cinta Dalam Sekam yang mula distrim secara eksklusif di platform Viu sejak 16 Julai lalu.
Selain Haidar, drama arahan Feroz Kader itu turut menampilkan Siti Khadijah Halim, Amir Ahnaf, Riz Amin dan Husna Mustaffa, mengisahkan perjalanan emosi seorang warga emas yang menghidap demensia sehingga membongkar rahsia cinta tiga segi yang tersimpan sejak sekian lama.