Sekilas
- Aisha Retno menggunakan platform Threads untuk mempromosikan lagu raya dan mendekatkan diri dengan peminat secara santai sebagai rakan-rakan.
- Algoritma Threads membantu kandungannya sampai kepada sasaran pendengar dengan interaksi yang lebih intim dan suasana yang santai berbanding platform lain.
- Aisha melihat Threads sebagai ruang untuk menjadi diri sendiri dan sebagai ‘escape’ dari kesibukan kerjaya seni yang padat.
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno mengakui platform Threads merupakan satu ruang baharu untuknya mendekatkan diri dengan peminat dengan cara yang lebih santai.
Menurut Aisha, dia pada awalnya memuat turun aplikasi tersebut hanya untuk tujuan mempromosikan lagu rayanya, Jodoh Lebaran, tanpa mengetahui sepenuhnya fungsi platform berkenaan.
“Sebenarnya saya baru download Threads untuk tujuan promosi lagu raya saya iaitu Jodoh Lebaran. Masa tu memang saya tak tahu apa-apa pasal Threads.
"Bagi saya ia adalah satu platform yang fresh untuk saya dekatkan diri dengan rakan-rakan. Saya tak nak panggil peminat, mereka adalah rakan-rakan saya yang kita perlu kenali,” katanya kepada Gempak.
Tambah Aisha, algoritma Threads juga membantu kandungannya sampai kepada sasaran pendengar, sekali gus mewujudkan interaksi yang lebih intim berbanding platform lain.
Walaupun sebelum ini Threads sering dikaitkan dengan suasana toksik, pengalaman Aisha ternyata berbeza apabila kandungan yang diterimanya lebih santai dan menghiburkan.
"Algorithm pun sampai ke kita punya peminat-peminat dengan cara lebih intimate. Dan bagi saya selalu orang kata dulu Threads katanya toksik dan sebagainya, tapi bila Aisha download, so far my algorithm semua alhamdulillah macam kelakar-kelakar.
"So saya pun rasa macam "Okey, this is my time to shine untuk jadi kelakar juga, jadi diri sendiri lah". Sebab kadang-kadang kita kan, sebagai artis,profesionalisme kita, kita menyanyi sahaja, kita tak tunjuk ke orang yang this is the real me. Dan Threads actually is one of the very good platform untuk kita menjadi diri sendiri, tetapi dengan batasan yang eloklah," ujarnya.
Dalam masa sama, Aisha percaya perkongsian sebegini membolehkan orang ramai melihat dirinya sebagai individu biasa di luar dunia seni.
Selain itu, Aisha menyifatkan Threads sebagai satu ‘escape’ daripada kesibukan kerjaya, terutamanya buat penggiat seni yang sentiasa sibuk dengan komitmen kerja.