Sekilas
- Chacha Maembong pernah dilabel sombong kerana wajahnya yang garang dan penampilan luarannya yang dianggap dingin.
- Dia tidak berkecil hati dengan pandangan negatif itu dan percaya orang hanya menilai tanpa mengenali dirinya secara peribadi.
- Chacha mengamalkan prinsip karma dan memilih untuk bersikap baik walaupun menerima kata-kata negatif daripada orang lain.
Pelakon, Chacha Maembong mengakui dirinya pernah dilabel sebagai sombong hanya kerana raut wajahnya nampak garang.
Menurut Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, 30, dakwaan timbul disebabkan tanggapan individu yang menilai dirinya dari segi luaran tanpa mengenali sisi peribadi.
“Kadang-kadang kita tak tahu orang tu macam mana, kita boleh menilai daripada luar, sebab itu hanyalah luaran tetapi dalaman seseorang kita tidak tahu.
“Sama juga macam saya, sejujurnya bila orang tak kenal saya, ada yang kata saya sombong, berlagak seperti diva, hanya kerana wajah saya yang agak kepenatan.
“Tapi begitulah, bila orang tak kenal kita mereka akan menilai, tapi bila orang sudah kenal diri kita sebenar baru mereka rasa kita bukan seperti itu,” katanya.
Chacha berkata demikian ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment, baru-baru ini.
Bagaimanapun kata Chacha, dia tidak berkecil hati mahupun menyimpan dendam terhadap kata-kata megatif itu, sebaliknya adik kepada pelakon Emma Maembong ini menyifatkan perkara itu sebagai perkara biasa dalam dunia seni.
“Saya tidak marah, bagi saya orang nak kata macam macam pun saya hanya okay, sebab itu bukan diri saya.
“Saya percaya dengan diri saya sendiri, saya kenal diri saya, jadi apa orang cakap tak kisah, sebab mereka tak kenal saya. Sebagai pelakon, mental juga kena kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chacha juga percaya setiap perkara kurang baik yang dilakukan pastinya akan menerima kifarah atas kelakuan mereka.
“Dari dulu lagi saya selalu dapat ayat ni, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Sebab saya percaya pada karma dan ‘what goes aroud comes around’.
“Orang nak cakap depan diva ke, nak cakap sombong ke, kita nak balas untuk apa? Jadi saya hanya kata terima kasih.
“Bila kita baik dengan orang, mungkin dia akan fikir benda yang dia buat itu salah. Kalau kita nak lawan pun benda tidak akan ke mana,” jelasnya.