Isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang memilih baju warna kelabu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor kira-kira 11.53 pagi Selasa.
Dr Afifah atau lebih mesra disapa Dr Fie mengakui, dia berasa sedikit gementar untuk mengetahui keputusan pengesahan lafaz cerai.
"Hari ini saya sangat gementar dan tak begitu yakin sangat. Doakan yang baik-baik," katanya kepada Gempak.
Sebelum ini, Dr Fie menerusi platform Threads meminta pandangan peminat mengenai warna baju yang bakal dipakai untuk hadir ke mahkamah.
Manakala, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, terlihat tenang apabila tiba di mahkamah sambil ditemani peguamnya kira-kira pukul 12.07 tengah hari.
"Saya tunggu saja keputusan mahkamah, hari ini pengesahannya," ujarnya.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun