Anak sulung pasangan selebriti, Neelofa dan Haris Ismail iaitu Muhammad Bilal mencuri perhatian apabila menitipkan ucapan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung keprihatinannya terhadap isu penyembelihan ayam mengikut hukum syarak.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Haris dilihat sedang memberikan penerangan kepada anaknya mengenai kepentingan memilih makanan halal, khususnya ayam yang perlu melalui proses penyembelihan mengikut tuntutan agama Islam.
Menariknya, perkongsian tersebut turut mengundang rasa ingin tahu Bilal apabila dia mengajukan pertanyaan kepada bapanya mengenai pemantauan yang dilakukan Dr Zulkifli terhadap bekalan ayam halal.
Malah, Bilal turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan penghargaan kepada Menteri berkenaan.
“Terima kasih Dr Zul kerana mengambil berat mengenai ayam halal. Adakah Dr Zul memantau?” katanya.
Menjawab persoalan tersebut, Haris menjelaskan bahawa Dr Zulkifli telah menjalankan pemantauan serta pemeriksaan terhadap premis penyembelihan ayam bagi memastikan perkara berkenaan diberi perhatian sewajarnya.
“Ya, Dr Zul sedang memantau dan tak silap saya dia telah membuat pemantauan terhadap premis penyembelihan,” jelas Haris.
Dalam video berdurasi lebih enam minit itu, Haris turut mengambil peluang mendidik Bilal mengenai kepentingan memastikan makanan yang diambil bukan sahaja halal, malah menepati konsep toyyiban seperti yang dianjurkan dalam Islam.
“Apa yang ingin saya katakan, anda perlu mengambil makanan yang halal. Dalam surah yang saya kongsikan, Allah meminta setiap insan untuk memilih makanan yang halal dan toyyiban,” katanya.
Terdahulu, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa premis penyembelihan ayam yang disyaki beroperasi tanpa permit dan kelulusan pihak berkuasa tempatan tidak tersenarai dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ini kerana premis berkenaan tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pemeriksaan awal juga mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa kelulusan berkaitan.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli memaklumkan JAKIM sebelum ini telah mengambil tindakan terhadap beberapa kes ketidakpatuhan, termasuk mengenakan kompaun berjumlah RM40,000 terhadap tiga syarikat kerana gagal mematuhi undang-undang ditetapkan.
Untuk rekod, pada 30 Oktober lalu, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak serta keperluan pensijilan halal dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor.
Operasi dikenali sebagai Ops Taring Chiller itu turut menyaksikan penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.