Sekilas
- El Coro Ensemble dinobatkan juara kategori Vocal Group Championship pada 15th Bali International Choir Festival 2026, mewakili Malaysia di peringkat Grand Prix.
- Kejayaan kumpulan vokal ini hasil dedikasi, disiplin, dan kepercayaan antara ahli di bawah bimbingan konduktor Cikgu Azrin Noor.
- El Coro Ensemble memukau juri dengan teknik vokal, kesatuan suara, dan penyampaian artistik yang tinggi, mengatasi kumpulan antarabangsa lain.
Kumpulan vokal Malaysia, El Coro Ensemble sekali lagi mengharumkan nama negara apabila berjaya dinobatkan sebagai juara kategori Vocal Group Championship pada 15th Bali International Choir Festival 2026 (BICF 15).
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan kumpulan berkenaan beraksi di peringkat Grand Prix, yang menghimpunkan semua juara daripada kategori-kategori utama festival berprestij itu.
Konduktor El Coro Ensemble, Cikgu Azrin Noor, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil dedikasi, disiplin dan kepercayaan yang terjalin dalam kalangan ahli kumpulan.
"Kemenangan ini bukan sekadar tentang menjadi juara, tetapi bukti bahawa kerja keras, disiplin dan kepercayaan antara satu sama lain mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Saya amat bangga dengan setiap ahli El Coro Ensemble,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Ketua Seksyen Tenor, Ezly Syazwan, meluahkan rasa syukur dan bangga kerana berpeluang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga atas kemenangan di peringkat antarabangsa ini bersama rakan seperjuangan saya di El Coro Ensemble di bawah didikan Cikgu Azrin Noor.
“Bagi saya kemenangan ini bukan sahaja untuk kami tapi untuk Malaysia jugak dan membawa quality choir negara kita di satu tahap yang lain. Walaupun tanpa ditaja oleh mana-mana badan organisasi dan hanya mengeluarkan modal sendiri sahaja, kami tetap melakukan yang terbaik untuk negara,” ujar Ezly.
El Coro Ensemble berjaya memukau barisan juri menerusi persembahan yang mantap dari aspek teknik vokal, kesatuan suara, muzikaliti serta penyampaian artistik yang berkualiti tinggi, sekali gus mengatasi persaingan daripada kumpulan-kumpulan bertaraf antarabangsa.
Bali International Choir Festival merupakan antara festival koir paling berprestij di rantau Asia yang menghimpunkan penyertaan koir dari seluruh dunia setiap tahun.
Festival ini dianjurkan oleh Bandung Choral Society di bawah naungan Encik Tommyanto Kandisaputra, dan terkenal sebagai platform yang mengetengahkan kecemerlangan seni koir di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, kumpulan tersebut juga berjaya membawa pulang Pingat Emas dan gelaran Juara Kategori bagi Pop Vocal Ensemble (Kategori B5), selain menerima anugerah Outstanding Malaysian Choir di Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) International Choir Festival 2025.