Pereka fesyen tanah air, Hatta Dolmat menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran pelakon dan usahawan, Fazura.
Menerusi satu perkongsian di laman Threads, Hatta berkongsi detik pertama mereka bertemu sekitar tahun 2005 ketika acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) berlangsung.
Advertisement
“Selamat ulang tahun buat seorang figura penuh inspirasi dan kasih sayang @missfazura.

“Masa pertama kali Hatta jumpa Fazura pada 2005, sudah tentu saya rasa starstruck, tapi dia tenang saja siap ajak saya pergi beli panadol dan berborak macam kita dah lama kenal,” tulisnya.
Hubungan itu semakin akrab apabila Hatta berpeluang menjadikan Fazura sebagai muse dalam pertunjukan fesyen Malaysia International Fashion Week (MIFW) pada tahun 2008.
“Dia nampak sangat cantik seperti biasa. Bila Hatta berpindah ke Kuala Lumpur pada 2019, barulah saya kenal Fazura bukan sekadar ikon atau selebriti tetapi sebagai seorang sahabat dan kakak.
“Walaupun saya lebih tua, dia ada ciri-ciri kakak yang menjaga semua orang sebab itu kami panggil dia kak long,” katanya.

Menurut Hatta, sifat penyayang Fazura jelas terserlah apabila dia sentiasa memastikan keadaan orang sekelilingnya terjaga dan selesa, terutamanya ketika mereka melakukan aktiviti bersama.
“Kalau kita tiada, dia akan cari. Kalau kita travel bersama, dia akan pastikan semua orang selamat, cukup keperluan dan gembira,” kongsinya lagi.
Hatta turut mengimbau kenangan ketika salah seorang rakan mereka mahu mendirikan rumah tangga, Fazura menjadi individu paling teruja meraikan detik istimewa itu.
“Dia teman cari cincin, beri banyak nasihat, dan paling menyentuh hati, masa beri ucapan perkahwinan dia menangis.
“Dari situ saya tahu Fazura seorang yang penuh kasih sayang. Kalau dia sayang, dia akan pastikan kita sentiasa ada di sisinya.
“Dan kalau pergi ke mana-mana, semua kos akan dia tanggung, kita hanya perlu ada.” dedahnya.
Sumber: Threads