Sekilas
- Helikopter milik Layang-Layang Aerospace yang membawa empat kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan seorang juruterbang terhempas ketika cuba mendarat cemas di Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
- Pesawat jenis BO-105 itu dilaporkan terbakar bahagian atas sebelum kejadian dan operasi mencari serta menyelamat segera dijalankan di lokasi.
- CAAM mengesahkan menerima laporan kejadian dan Biro Siasatan Kemalangan Udara akan menjalankan siasatan mengikut peraturan penerbangan awam.
Sebuah helikopter yang membawa empat kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama seorang juruterbang terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram, Sarawak, petang tadi.
Helikopter milik Layang-Layang Aerospace itu dipercayai menghampiri landasan sekitar jam 3.40 petang sebelum kejadian berlaku.
Pesawat jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan bahagian atasnya terbakar ketika menghampiri landasan.
Pasukan perubatan dan penyelamat kemudiannya tiba di lokasi kira-kira jam 3.46 petang.
Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat turut digerakkan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat penumpang yang sempat terjun sebelum helikopter itu terhempas.
Helikopter berkenaan difahamkan digunakan untuk perkhidmatan doktor udara atau khidmat perubatan kecemasan dengan callsign Medic 3.
Berdasarkan manifest penerbangan, empat kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang berada di dalam helikopter itu terdiri daripada seorang pegawai perubatan, dua jururawat dan seorang penolong pegawai perubatan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan ringkas memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 3.58 petang.
CAAM turut memaklumkan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung insiden itu mengikut Bahagian 26 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Untuk rekod, perkhidmatan doktor udara menjalankan penerbangan ke 97 lokaliti di seluruh Sarawak, khususnya kawasan pedalaman Kapit, Miri dan Limbang yang tidak mempunyai akses darat atau berada terlalu jauh di pedalaman.
Sumber: Awani