Skip to main content

Hiburan

“Henti Kecaman Kepada Dia, Saya Letak Semua Kesalahan Pada Diri Sendiri” - Nubhan

Nubhan

Ringkasan AI

  • Penyanyi Nubhan akui sukar hadapi isu rumah tangga bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah.
  • Dia pilih untuk salahkan diri sendiri dan simpan segala masalah antara mereka berdua.
  • Nubhan minta warganet hentikan spekulasi dan kecaman terhadap isteri yang juga ibu kepada anak-anak mereka.
  • Dia mahu fokus pada anak dan penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim ke-12.
  • Nubhan telah failkan pengesahan cerai dan tuntutan hadanah penuh di Mahkamah Syariah.

Penyanyi, Nubhan mengakui agak berat buatnya untuk berdepan dengan beberapa isu dan kontroversi susulan kemelut rumah tangganya dengan isteri, Dr. Afifah Hidayah.

Menurut Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, dia memilih untuk menyalahkan dirinya sendiri berbanding menuding jari terhadap orang lain.

Nubhan berkongsi perkara tersebut usai konsert minggu kedua program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang diadakan di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Bercakap mengenai tohmahan dan kecaman diberikan sesetengah pihak terhadap isterinya, pelantun lagu ‘Ada Untukmu’ itu meminta warganet menghentikan sebarang spekulasi yang boleh menambah sakit kepada luka yang sudah ada.

“Saya rasa sekarang ini makin rancak dan banyak spekulasi yang keluar dan bertebaran. “

“Ada yang mengutuk dan bercakap yang bukan-bukan. Saya hormat dia sebagai ibu kepada anak-anak saya.”

“Jadi, saya minta kalian untuk hentikan segala kecaman dan kata-kata yang tidak baik terhadap isteri saya sebab dia masih lagi ibu kepada anak-anak saya.”

Dalam pada itu, Nubhan memaklumkan dirinya lebih selesa untuk tidak lagi bercakap mengenai kemelut rumah tangganya dengan isteri kerana berasakan perkara itu tidak akan membawa kebaikan.

“Saya rasa saya tak nak lagi bercakap mengenai perkara ini dan rasa yang hal ini patut dihentikan sebab ia tak akan membawa kepada kebaikan. Cukuplah sampai di sini sahaja.”

“Ketika ini, saya nak berikan fokus terhadap anak saya dan penyertaan saya di Gegar Vaganza.”

“Berilah saya ruang dan peluang untuk meneruskan segala tanggungjawab saya,” kongsinya.

Sekadar info, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad telah memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap Dr. Afifah di Mahkamah Syariah Sepang.

Nubhan kemudiannya memfailkan tuntutan hadanah penuh terhadap tiga orang anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Terbaharu, timbul pula dakwaan mengatakan ibu mentua kepada Nubhan meminta wang sebanyak RM5,000,000 jika benar nekad mahu menceraikan Dr. Afifah.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurnikan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.

Must-Watch Video

Advertisement