Sekilas
- Pelakon Singapura, Hisyam Hamid menang Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2025 menerusi filem Memori.
- Hisyam berjaya kalahkan pelakon hebat dari beberapa negara termasuk Australia, India, dan Filipina.
- Astro juga cemerlang dengan 16 anugerah termasuk Best Game or Quiz Show menerusi program SME S.W.A.T dan beberapa kategori lain.
Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid meluahkan rasa syukur dengan kemenangan yang dirangkulnya di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025 yang berlangsung di Singapura pada Khamis.
Menerusi perkongsian di Threads, Hisyam dilihat memuat naik foto dirinya yang sedang duduk sambil memegang trofi bagi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik yang dimenanginya menerusi lakonan filem Memori.
“Syukur Alhamdulillah. Yang rapat dgn saya tahu apa saya lalui untuk menjayakan watak Imran dalam filem Memori ini,
“Rasa puas dan berbaloi, Alhamdulillah,” ujarnya.
Bagi anugerah tersebut, Hisyam berjaya menewaskan beberapa calon hebat seperti Hugo Weaving (Australia), Nicholas Yuen (Hong Kong), Ranvir Shorey (India), Piolo Pascual (Filipina), Datuk Hans Isaac (Singapura), Hao Hsiang Hsu (Taiwan) serta Gun Atthaphan Phunsawat (Thailand).
Sementara itu, Astro pula berjaya merangkul anugerah The Best Game or Quiz Showmenerusi program SME S.W.A.T.
Program SME S.W.A.T berjaya menewaskan saingan lain seperti negara Hello, Saturday (China), Say It Right! S2 (Singapura) dan Cheng Ren Detective Club (Taiwan).
Terdahulu, syarikat hiburan dan kandungan terkemuka Malaysia, Astro melakar sejarah apabila berjaya merangkul 16 anugerah pada Asian Academy Creative Awards 2025 (AAA 2025).
Kategori yang telah dimenangi oleh Astro antaranya adalah Best General Entertainment Programme, Best Entertainment Host, Best Branded Programme, Best Actress In A Leading Role dan Best Game Or Quiz Programme.
Sementara itu, Astro Shaw juga berjaya membawa pulang anugerah menerusi filem Keluang Man yang memenangi anugerah Best Visual Or Special FX (TV Or Feature Film) dan Project: Exit lakonan Mierul Aiman merangkul anugerah Best Sound - Audio Aficionado.
Asian Academy Creative Awards 2025 telah berlangsung di Capitol Theater, Singapura pada 4 Disember.
Sumber: Threads