Skip to main content

Hiburan

HITZ Lancar “NEXT ON HITZ”, Cari Generasi Baharu Penyampai Radio

Astrogempak HITZ

Sekilas

  • HITZ lancar NEXT ON HITZ, pencarian bakat digital untuk personaliti penyiaran berumur 18 hingga 35 tahun melalui platform TikTok.
  • Peserta terpilih akan menjalani latihan dan cabaran di All Asia Broadcast Centre, Bukit Jalil, dengan penilaian merangkumi kemahiran penyiaran dan penciptaan kandungan digital.
  • Inisiatif ini bertujuan mencari personaliti generasi baharu yang kreatif dan mampu berhubung dengan audiens di pelbagai platform digital.

Stesen radio berbahasa Inggeris terkemuka Malaysia, HITZ, hari ini mengumumkan pelancaran NEXT ON HITZ, satu pencarian bakat di peringkat nasional yang bertujuan menemukan generasi baharu personaliti penyiaran dalam era digital.
 

Kempen ini tampil berbeza daripada pencarian penyampai radio konvensional apabila ia menyasarkan pencipta kandungan digital dari seluruh negara, selaras dengan evolusi radio yang kini bergerak seiring dengan platform media sosial.
 

Langkah tersebut mencerminkan landskap media moden di mana personaliti paling berpengaruh hari ini banyak dibina melalui platform digital, berteraskan kreativiti, keaslian dan hubungan rapat dengan audiens. Melalui NEXT ON HITZ, ia membuka laluan sebenar buat pencipta kandungan harian untuk berkembang sebagai penyiar profesional.
 

Pencarian ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 hingga 35 tahun, dengan penyertaan dibuat menerusi TikTok. Peserta hanya perlu merakam duet bersama video rasmi HITZ yang ditetapkan di laman TikTok stesen tersebut.
 

Calon yang disenarai pendek akan diberi peluang menyertai pengalaman radio dunia sebenar di All Asia Broadcast Centre (AABC), Bukit Jalil, di mana mereka akan melalui proses latihan, cabaran dan penilaian dalam pelbagai aspek penyiaran moden.
 

Penilaian bukan sahaja tertumpu kepada suara dan penyampaian di udara, malah melibatkan kemahiran penciptaan kandungan, personaliti di hadapan kamera serta kebolehan berhubung dengan audiens merentas pelbagai platform digital – selari dengan peranan hibrid bakat radio masa kini.
 

Pengurus Stesen HITZ, Sean Farrell Matjeraie, berkata pencarian ini bertujuan mentakrifkan semula maksud seorang penyampai radio dalam landskap media hari ini.
 

“Bakat radio hari ini bukan lagi sekadar memiliki suara yang menarik. Ia mengenai perspektif, kreativiti dan kebolehan untuk berhubung dengan orang ramai di mana sahaja mereka berada, khususnya di platform digital. Banyak bakat luar biasa di luar sana dan ramai hanya menunggu peluang yang tepat,” katanya.
 

Beliau turut menjelaskan bahawa NEXT ON HITZ diwujudkan untuk membuka ruang tersebut kepada bakat baharu.
 

“Kami bukan sekadar mencari penyampai, tetapi personaliti yang mampu mewakili suara generasi baharu dan berkembang bersama jenama HITZ,” tambahnya.

Berteraskan pendekatan digital-first, pencarian ini direka bagi mendekati audiens di platform yang mereka gunakan setiap hari dalam talian  sambil membawa mereka lebih dekat dengan dunia radio. 

Inisiatif ini juga mengukuhkan komitmen jangka panjang HITZ dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat segar agar terus relevan bersama perubahan cita rasa pendengar.

Maklumat Penyertaan NEXT ON HITZ

* Tempoh penyertaan: 6 April hingga 24 April 2026

* Kaedah penyertaan: Duet video di laman rasmi TikTok HITZ

* Kelayakan: Warganegara Malaysia berumur 18 hingga 35 tahun

* Sesi fizikal: Peserta disenarai pendek perlu berada di Studio HITZ, Bukit Jalil dari 27 April hingga 8 Mei 2026
 

HITZ merupakan sebahagian daripada rangkaian Astro Audio yang merangkumi 13 stesen radio di seluruh negara. Ia kekal sebagai destinasi utama untuk muzik hit, bunyi trending serta budaya pop, khususnya dalam kalangan pendengar muda.
 

Dengan kehadiran digital yang semakin kukuh termasuk lebih 300,000 pengikut di TikTok, HITZ terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama hiburan pelbagai platform. Pendengar boleh mengikuti HITZ melalui siaran radio, penstriman dalam talian, media sosial rasmi serta aplikasi mudah alih yang tersedia di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

Anda mungkin berminat dengan

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

TNW S30 Selfie Stick Tripod 3 in 1 Quadrapod Wireless Selfie Stick Bluetooth Remote 360° Phone Tripod Stand with Light

TNW S30 Selfie Stick Tripod 3 in 1 Quadrapod Wireless Selfie Stick Bluetooth Remote 360° Phone Tripod Stand with Light

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

[BARU RESTOCK] Dr Cardin Drift Ballet Ladies Comfort Sneaker / MaryJanes L-RQA-3826 Kasut Bella Astillah *READY STOCK

[BARU RESTOCK] Dr Cardin Drift Ballet Ladies Comfort Sneaker / MaryJanes L-RQA-3826 Kasut Bella Astillah *READY STOCK

Must-Watch Video

Advertisement