Sekilas
- Atlet kecergasan Korea Selatan, Hong Beom Seok, kagum dengan semangat juang dan kekuatan mental Hairul Azreen ketika menyertai cabaran HYROX di Bangkok.
- Mereka memulakan latihan bersama dua bulan sebelum pertandingan dan berjaya mencapai sasaran menyelesaikan cabaran dalam masa 60 minit.
- Hong Beom Seok menasihatkan latihan konsisten dan disiplin sebagai kunci utama untuk berjaya dalam sukan HYROX.
Atlet kecergasan Korea Selatan, Hong Beom Seok kagum dengan semangat juang dan kekuatan mental yang ditunjukkan bekas pelakon, Hairul Azreen ketika menyertai cabaran HYROX di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Menurut Hong Beom Seok, Hairul tetap memberikan komitmen terbaik untuk menyelesaikan setiap cabaran di setiap stesen meskipun sedikit keletihan.
“Walaupun dia sangat letih, tapi saya kagum dengan kekuatan dia. Dia melakukan setiap cabaran di setiap stesen dengan baik sekali. Saya kagum dengan kekuatan mental dia yang sangat kuat. Walaupun boleh nampak dia dah letih namun kekuatan mental dia untuk teruskan itu sangat kuat,” katanya.
Dalam pada itu, Hong Beom Seok berkata mereka sudah memulakan persiapan kira-kira dua bulan sebelum menyertai HYROX di Bangkok.
Katanya, dia berasa gembira dapat menjalani latihan bersama Hairul, malah mereka turut berkongsi data latihan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
“Kami memutuskan untuk melakukan latihan ini dua bulan sebelum Hyrox di Bangkok. Saya gembira melakukan latihan ini bersama dengan Hairul, kerana ia sangat menyenangkan dan dia selalu menghantar data latihannya kepada saya.
“Jadikan kami set target untuk selesaikan semua cabaran dalam masa 60 minit. Walaupun ada sedikit kesulitan namun dia tetap lakukan dan kami sangat gembira kerana hari ini kami berjaya capai apa yang kami mahu,” ujarnya.
Sementara itu, Hong Beom Seok turut berkongsi tip kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan HYROX.
Menurutnya, disiplin dan latihan secara konsisten merupakan antara perkara penting untuk membina kekuatan fizikal serta mental sebelum menyertai pertandingan.
“Seperti Hairul, anda perlu berlatih setiap hari untuk membina kekuatan dirinya, ini tip saya untuk anda yang baru nak masuk ke sukan Hyrox,” kongsinya.
Terdahulu, Hairul Azreen mengakui tidak menyangka hasratnya untuk bergandingan dengan personaliti Korea Selatan, Hong Beom Seok untuk sukan Hyrox akhirnya menjadi kenyataan.
Hairul berkata, dia sendiri pernah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Hong Beom Seok dan terkejut apabila peserta Physical 100 itu terus memberikan persetujuan.