Hos, pemuzik dan pelawak Andre Taulany nekad meneruskan perceraian dengan isteri, Erin atau Rien Wartia Trigina meski sudah tiga kali permohonan tersebut ditolak mahkamah.
Kes perceraian mereka kini masuk kali keempat apabila Andre tidak berganjak dengan keputusannya mahu menceraikan Erin apabila menghantar permohonan ke mahkamah pada 12 September 2025.
Advertisement
Kini saat kes perceraian mereka masih berjalan, netizen Indonesia dihebohkan dengan isi dokumen permohonan cerai Andre terhadap wanita yang sudah 18 tahun menjadi isterinya.
Menerusi dokumen yang belum disahkan secara rasmi oleh Andre atau Erin, diketahui selebriti itu mahu melepaskan isterinya kerana wanita itu selalu tampil dengan kehidupan mewah.
Selain itu Erin juga disifatkan tidak mempunyai hubungan baik dengan keluarga Andre termasuk berkomunikasi. Sebaliknya Andre tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami termasuk membiayai rombongan keluarga Erin menunaikan umrah.
“Termohon (Erin) tidak memiliki hubungan yang cukup baik dengan keluarga-keluarga pemohon. Bahkan dapat dikatakan, termohon sangat jarang berkomunikasi dengan keluarga besar pemohon," tulis dokumen tersebut seperti dilaporkan InsertLive.
Selain itu, Erin didakwa selalu bersikap kasar dengan pembantu rumah malah pernah memukul dan membakar pakaian mereka.
"Bahawa termohon selalu marah-marah kepada asisten rumah tangga (pembantu rumah) dalam mengurus rumah. Termohon sering kali mencaci maki dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka walau pada kesalahan yang kecil.
"Pernah beberapa kali saksi di rumah melaporkan kepada pemohon (Andre) kalau melihat termohon mencaci maki dengan kata-kata kotor sampai memukul pembantu dan pernah ada juga yang sampai baju-baju salah seorang pembantu dibakar," demikian isi dokumen tersebut lagi.
Sebelum ini tiga kali permohonan cerai Andre terhadap Erin ditolak kerana mahkamah antaranya berpendapat mereka tidak mempunyai ‘masalah besar’ sehingga perlu berpisah selain alamat permohonan cerai yang diajukan kepada wanita itu bukan dalam wilayah yang sama.