Skip to main content

Selebriti

Hubungan Hariz Hamdan & Hazwani Helmi Hanya Kawan, Sudah Anggap Seperti Kakak - “Banyak Beri Tunjuk Ajar Pada Saya Dalam Hal Berkaitan Agama”

Hariz Hamdan, Hazwani Helmi hanya kawan

Sekilas

  • Pelakon Hariz Hamdan menegaskan hubungannya dengan aktivis kemanusiaan Hazwani Helmi hanyalah sebagai rakan sekerja dan teman rapat sahaja.
  • Mereka rapat kerana berlakon bersama dalam drama Iqbal, dan Hariz menganggap Hazwani seperti kakak yang banyak memberi tunjuk ajar dalam hal agama.
  • Hariz menghargai doa dan sokongan peminat yang mahu mereka bersama, namun menegaskan jodoh adalah ketentuan Tuhan.

Pelakon, Hariz Hamdan tampil menjelaskan status hubungannya dengan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi, selepas wujud spekulasi susulan keserasian mereka dalam drama Iqbal yang kini menjadi perhatian peminat.

Menurut Hariz, hubungan mereka hanyalah sekadar teman rapat sahaja bukan seperti yang digambarkan oleh peminat.

“Kami hanya kawan sahaja, bila berlakon bersama dan dalam drama itu ada mengisahkan tentang percintaan, sudah tentu orang akan ‘kenen-kenenkan’ kami.

“Tapi sebenarnya dalam kehidupan sebenar, kami berdua hanya rakan sekerja sahaja,” ujarnya.

Hariz berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran kempen Ramadan dan Raya Astro bertempat di 20twelve Studio, Petaling Jaya pada Rabu.

Malah kata Hariz, dia sudah menganggap Hazwani sebagai seorang kakak selain banyak menjadi rujukan dalam hal berkaitan dengan agama.

“Secara jujurnya kami rapat sebab Hazwani adalah heroin dalam cerita itu dan saya pula sparring partner dia.

“Jadi kami dekat set memang rapat, tapi sebab saya anggap dia macam kakak sendiri. Dia banyak memberi tunjuk ajar pada saya dalam hal yang berkaitan dengan ilmu agama,” jelasnya.

foto kredit: @harizhamdann (IG)

Foto kredit: Instagram @harizhamdann

Bagaimanapun kata Hariz, dia tidak menolak niat baik peminat yang mahu menjodohkan mereka namun berharap ia tidak disalahertikan.

“Nak kenen-kenenkan itu tak salah, nak doa-doakan juga itu tak salah. Saya rasa bagi pihak saya dan Hazwani juga saya rasa lebih baik untuk anggap kami sebagai kawan sahaja.

“Tak salah untuk kenenkan, tak salah untuk doakan tapi jodoh itu kita tak tahu, itu semua ditangan Tuhan. Kalau ada, ada, kalau tak ada maknanya tiada.

“Apa pun doa yang terbaik dan teruskan menyokong kami,” ujarnya.

Terdahulu, hubungan Hariz dan Hazwani mula menjadi perbualan selepas mereka bergandingan dalam drama Iqbal.

Disebabkan itu, ramai yang menyukai gandingan mereka dan mengusik Hariz agar segera menghantar rombongan untuk meminang Hazwani yang dianggap sepadan dengannya itu.

Must-Watch Video

Advertisement