Skip to main content

Hiburan

Hujan Sambut Ulang Tahun Ke-20, Bakal Gegar Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Jun Ini

Astrogempak HUJAN

Sekilas

  • Kugiran Hujan bakal meraikan ulang tahun ke-20 mereka dengan konsert besar bertajuk HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN pada 27 Jun 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
  • Konsert ini adalah penghargaan kepada perjalanan muzik Hujan dan sokongan peminat setia mereka, Raingers, serta meraikan scene indie yang telah memecah tembok muzik komersial di Malaysia.
  • Tiket bermula dari RM158 hingga RM268 akan dijual mulai 10 April 2026, dengan tema busana yang menggalakkan peminat memakai baju band atau jenama tempatan sebagai tanda sokongan #supportlocal.

Sewaktu rintik-rintik perdana Hujan ‘turun’ membasahi industri muzik Malaysia pada 2005 silam, tidak ramai yang menyangka karya yang diperkenalkan akan menyuburkan nama kugiran itu bukan hanya di tanah air tetapi tempiasnya turut ‘menyejukkan’ industri hiburan di Nusantara.

 

Seperti berkatnya hujan yang mencurah dari langit, hanya menerusi album pertama Hujan yang lahir pada 2007, kugiran ini secara tidak sengaja telah menerobos kerancakan muzik pop pada ketika itu dan sekaligus mencetus gelombang ‘kegilaan’ terhadap genre indie rock alternatif yang mereka bawa.

 

Tonggak utama Hujan iaitu Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas dan Azham Ahmad - (pengasas) yang kemudian disusuli dengan kehadiran Izzat Uzaini sehingga kini dan terus menjadi tersohor; se-tersohor karya-karya mereka. Perjalanan Hujan juga pernah diwarnai oleh beberapa pemuzik-pemuzik session seperti Dukegong, Ojoe, dan Jaja.

 

Bukan hanya Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, DugaanNya, Ahmoi Chantek, Bila Aku Sudah Tiada, Gundah, dan Pijak Hatiku  yang menjadi siulan, Hujan turut melahirkan banyak karya berkualiti dalam setiap album studio yang dihasilkan sehingga menerima pengiktirafan dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM 16) untuk Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik.

 

Dengan sejarah panjang yang bukan hanya terhadap kejayaan dan pengiktirafan diperoleh, tetapi juga asam garam menjadi pemuzik yang antaranya sempat mengusik reputasi mereka, Hujan tetap konsisten melahirkan karya berkualiti dan mempunyai 9 album setakat hari ini.

 

Sehingga saat memasuki usia dua dekad atau 20 tahun, Hujan tidak goyah malah menjadi rujukan buat banyak kugiran terdahulu sehingga terkini sebagai salah satu benchmark yang telah merubah lanskap penerimaan dan anjakan muzik di awal tahun 2000.

 

Hujan adalah seperti legenda muzik Indie Malaysia yang tidak tergantikan.

 

Mengiktiraf dan berbangga dengan pencapaian serta kentalnya Hujan dalam dunia muzik, ICON Entertainment tidak berfikir dua kali untuk menganjurkan perayaan muzik Hujan 20 Tahun secara besar-besaran.

 

Diberi nama HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN, konsert berskala besar ini bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Jun 2026.

 

Menurut pengasasnya, Iman Tang, Hujan sepatutnya telah dirayakan sekian lama tetapi menanti sehingga 20 tahun untuk menganjurkan sebuah pesta besar buat kugiran ini sebagai tanda penghargaan terhadap karya luar biasa yang pernah dilahirkan.

 

Tidak lupa ucapan jutaan terima kasih kepada peminat Hujan yang digelar Raingers kerana selalu mendukung dan memberi sokongan tanpa henti.

 

“Dalam setiap era atau fasa muzik Malaysia, akan lahir pemuzik atau karyawan yang mampu menjadi legenda.

 

“Salah satunya adalah Hujan. Menerobos pasaran Malaysia pada saat genre pop dan penyanyi solo sangat mendominasi dengan stail indie dan muzik mereka adalah sebuah keberanian yang sukar diperoleh jika ‘tidak hati kering’.

 

“Keberanian, kualiti, semangat dan kreativiti yang tidak pernah mati dibawa Hujan telah menjadi faktor utama ICON Entertainment tidak berfikir dua kali untuk menganjurkan HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN.

 

“Hujan adalah ikon muzik generasi kini dan menganjurkan HUJAN XX :  #HUJAN20TAHUN adalah sebuah apresiasi khas buat Hujan dengan revolusi ‘Empayar’ mereka yang ‘gila’,” ujar Iman Tang.

 

Iman Tang malah yakin HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN akan ‘dihujani’ Raingers yang datang daripada seluruh pelusuk Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia yang tidak pernah akan meninggalkan kugiran ini ‘kemarau’ tanpa mereka.

 

Bagi Hujan, bakal merayakan ulang tahun ke-20 mereka, menerusi HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN  di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Jun 2026 ini, acara tersebut bukan tentang mereka. 

 

Namun HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN adalah tentang merayakan ‘scene’, rakan seperjuangan yang telah memecahkan tembok genre muzik terutama indie lalu bergelut dengan pasaran dan penerimaan pendengar umum sekaligus kekal relevan sehingga kini.

 

Dan tentu sahaja, HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN  akan menyaksikan ‘pemeran utama’ naik ke panggung dan merangkul Raingers menerusi sebuah pesta yang diisi perjalanan panjang dan sepak terajang karier yang telah membuat kugiran ini bertahan sehingga dua dekad.

 

“HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN bukan tentang Hujan tetapi tentang hasrat kami merayakan pejuang kugiran indie yang pada suatu masa pernah berdepan cabaran hebat untuk menembus dan merobohkan tembok muzik komersial sedia ada.

 

“Indie pernah dianggap asing. Muzik kami menerima persepsi yang sukar dan susah berjaya dalam pasaran komersial.

 

“Tapi lihatlah setelah kelompok pemuzik indie yang percaya bahawa tiada diskriminasi atau kasta dalam muzik, akhirnya kami membuktikan keberagaman genre menjadikan industri muzik tempatan lebih berwarna.

 

“Dan indie dari Malaysia kemudian juga diterima baik di Nusantara kerana di belahan dunia lain, indie juga diraikan karyawan seni mereka. Ini yang ingin kami rayakan dalam HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN. Perayaan muzik dan semua genre meski tidak sama perlu diraikan, ujar AG.

 

AG juga menambah HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN merupakan hadiah besar buat tulang belakang mereka,  Raingers. 

 

“HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN adalah tentang Raingers yang sedia bertahan dengan ‘rintik’, ‘kemarau’ dan musim ‘menuai’ hujan dengan tenang sepanjang kami berjinak dengan muzik komersial pada 2005.

 

“Melahirkan album pertama dengan memperkenalkan ia sebagai 123 Go pada 2007, melahirkan beberapa karya berjudul ‘suram’ seperti Pagi Yang Gelap’ atau ‘Bila Aku Sudah Tiada’ dalam balutan rock indie ternyata sebuah percubaan identiti sebenar yang menjadi.

 

“Justeru, Hujan 20 Tahun adalah tentang bagaimana kami seharusnya merayakan Raingers, bukan Raingers merayakan kami kerana tanpa Raingers yang setia sejak 2005 dengan hanya sekitar 9 album sahaja sepanjang dua dekad ini adalah sokongan yang luar biasa.

 

“Maka dengan ini Hujan secara rasmi dan berbesar hati mengundang Raingers atau penikmat muzik umumnya untuk mencipta satu sejarah yang tidak akan pernah dilupakan menerusi HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN pada 27 Jun 2026 ini Stadium Hoki Bukit Jalil. Kita akan berpesta lebih 40 lagu dari catalog arkib Hujan” ujar  AG.

 

Secara harfiahnya, HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN ialah tentang meraikan scene indipendent secara menyeluruh serta band-band yang muncul dan tumbuh sewaktu atau seterusnya.

 

HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN ialah sebuah konsert, perayaan dan keraian untuk meraikan perjalanan HUJAN, merayakan Raingers dan tentunya memperingati scene itu sendiri. 

 

Sehubungan itu, tema busana untuk ke konsert ini bersifat simple tetapi kuat  serta ikhlas dalam meraikan. Para peminat dan penonton diminta memakai baju yang bertemakan kumpulan (band) atau jenama (brand) tempatan. Barulah dinamakan #supportlocal!

 

Bersesuaian dengan jenama dan usia dua dekad mereka, tiket dengan beberapa kategori harga bermula RM158 (SANG ENEMY), RM188 (123 GO), RM208 (MENCARI KONKLUSI), RM228 (LONELY SOLDIER BOY), RM248 (ABCDEFGHUJAN) DAN RM268 (CHECKCHECK ROCKROCK) boleh dimiliki menerusi pembelian di https://www.ticket2u.com.my/Hujan yang akan mula dijual pada 10 April 2026 pukul 3 petang.

 

Kalau ‘Kamek Sayang Kitak’ , ayuh dengan ‘Jiwa Kelajuan’ kita ‘Ludah Amerika’ dan mengikat terus ‘Rantai Rasa Cinta’ bersama Hujan, jangan terlepas perayaan ‘Mencari Konklusi’ bersama Hujan dalam HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur, 27 Jun 2026.

 

Kehadiran kalian adalah lambang ‘Empayarmu’ Hujan yang akan terus bertahan 20 tahun lagi dan lagi. Sampai jumpa Raingers! Korang ‘Harus Ada’!

 

INFORMASI

HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN

Tarikh: 27 Jun 2026, Sabtu 

Masa: 8.30 malam 

Lokasi: Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil 

Radio rasmi: Era FM, Sinar FM dan Gegar FM 

Rakan digital rasmi: Astro Gempak

 

Harga tiket: RM158 (SANG ENEMY), RM188 (123 GO), RM208 (MENCARI KONKLUSI), RM228 (LONELY SOLDIER BOY), RM248, (ABCDEFGHUJAN) DAN RM268 (CHECKCHECK ROCKROCK)

 

Web tiket: https://www.ticket2u.com.my/Hujan yang akan mula dijual pada 10 April 2026 pukul 3 petang.

Anda mungkin berminat dengan

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

HABIB Songket Collection

HABIB Songket Collection

Corolla Soft New Shoes

Corolla Soft New Shoes

ATLAS G5 HD Screen Macaron Handheld Game Console Mini Arcade 500 Game Charging Portable Game Players Game Box

ATLAS G5 HD Screen Macaron Handheld Game Console Mini Arcade 500 Game Charging Portable Game Players Game Box

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

Must-Watch Video

Advertisement