Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir ke Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.
- Konsert yang berlangsung dalam hujan itu tetap mendapat sokongan padu daripada kira-kira 63,000 penonton yang hadir walaupun cuaca tidak menentu.
- Konsert ini menampilkan muzik tradisional dan warisan Nusantara serta menampilkan artis jemputan dari Malaysia dan Indonesia sebagai usaha mengangkat keindahan muzik tradisional merentas generasi.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi meluangkan masa menghadiri Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.
Siti atau nama lengkapnya, Siti Nurhaliza Tarudin mengalu-alukan kedatangan Anwar bersama dif-dif kehormat lain di hadapan kira-kira 63,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert tradisional terbesarnya itu.
“Malam ini kita menerima tetamu kehormat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terima kasih kerana sudi turun padang saksikan konsert irama tradisional terbesar saya,” katanya.
Anwar duduk bersebelahan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dengan masing-masing mengenakan baju hujan berikutan cuaca tidak menentu sepanjang konsert.
Meskipun konsert berlangsung dalam suasana hujan, peminat yang hadir dilihat tidak berganjak sebagai tanda sokongan buat penyanyi nombor satu negara itu.
Melihat kesungguhan dan pengorbanan peminat walaupun dalam kebasahan, Siti mengakui tersentuh, lantas mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan.
“Kita merancang segalanya, tapi Tuhan menentukan. Saya tak boleh tahan hujan, tapi bila kena hujan sejuk sikit.
“Apa pun, ini satu impian yang saya tak tahu bila lagi boleh lakukan. Akhirnya jadi kenyataan di stadium terbesar negara ini,” ucap Siti.
Konsert Tradisional Gema Bumantara dipentaskan Siti selepas sembilan bulan mencipta sejarah menerusi konsert tiga dekad pembabitannya dalam industri seni, iaitu Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 di lokasi sama pada 10 Januari lalu.
Konsert berkenaan menjadi hadiah istimewa buat peminat selain usaha meraikan dan mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus kekal relevan merentas generasi.
Ini sekali gus menjadi konsert solo pertama Siti di lokasi ikonik itu yang mengetengahkan sepenuhnya konsep muzik tradisional dan warisan Nusantara.
Menariknya, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan artis undangan membabitkan penyanyi jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta dua penyanyi dari Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.