Sekilas
- Hussain terbuka untuk mencuba bidang lakonan selain nyanyian kerana usianya yang masih muda dan mahu explore industri seni.
- Dia mengakui kurang yakin pada awal uji bakat lakonan, namun mendapat maklum balas positif daripada penerbit.
- Hussain sedang menjalani penggambaran micro drama Astro berjudul Sepupu Idaman Hati dan melihat persamaan antara nyanyian dan lakonan dari segi penghayatan watak.
Penyanyi, Hussain tidak menolak untuk menerokai dunia lakonan sekiranya diberikan peluang.
Menurut Hussain, usianya yang masih muda membuatkan dia mahu mengambil peluang untuk mencuba pelbagai cabang dalam industri, termasuk lakonan.
“Saya sebenarnya okay sahaja nak join berlakon ke apa sebab saya muda lagi. Jadi kalau boleh saya nak explore industri ini, tapi kalau boleh saya akan berikan lebih fokus kepada nyanyian sebab itu hobi saya,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai pengalamannya menyertai uji bakat lakonan, Hussain mengakui dia kurang yakin dengan kemampuan dirinya.
“Pada awalnya saya rasa tak lepas. Saya siap tanya kepada producer sama ada lakonan saya menjadi, tapi mereka memberikan feedback yang positif.
“Jadi alhamdulillah, saya seronok,” katanya.
Dalam pada itu, Hussain melihat terdapat persamaan antara bidang nyanyian dan lakonan, terutama dari segi keperluan untuk menghayati sesuatu watak atau dalam menyampaikan sesebuah karya.
Oleh itu, sebagai anak seni yang baharu sahaja menapak, pelantun lagu Takkan Pernah itu tidak mahu terlepas untuk menimba ilmu bagi membina jenamanya dalam industri seni tanah air.
“Berlakon ini sama juga macam menyanyi. Bila menyanyi kita kena menghayati lagu itu, kena bercerita.
“Bila berlakon kita kena tahu skrip-skrip itu. Jadi bila ada peluang, saya nak belajar menjiwai perkara tersebut,” ujarnya.
Sekadar info, Hussain kini sedang menjalani penggambaran bagi micro drama Astro yang berjudul Sepupu Idaman Hati.
Foto: CuriCuriKlik