Sekilas
- Ibu Alif Rieffa, Ayu Kepoh, tampil mempertahankan anaknya daripada kritikan netizen sepanjang pertandingan Big Stage Rocketfuel.
- Ayu meluahkan rasa sedih kerana perubahan sikap Rieffa menjadi perhatian negatif dan menegaskan anaknya hanya jadi diri sendiri.
- Big Stage Rocketfuel kini menyaksikan Sabrina tersingkir, manakala Adam Nazmie menduduki tempat pertama dengan markah tertinggi.
Ibu kepada bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Alif Rieffa yang dikenali sebagai Ayu Kepoh tampil mempertahankan anaknya susulan kritikan yang diterima daripada netizen sepanjang pertandingan berlangsung.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ayu meluahkan rasa terkilan apabila ada netizen yang mula mempersoalkan perubahan sikap Rieffa berbanding minggu sebelum ini.
Menurut Ayu, dia berasa sedih kerana setiap tindakan yang dilakukan Rieffa menjadi perhatian sehingga mengundang pelbagai tanggapan negatif daripada netizen.
“Bila dia dah jadi orang lain ramai tanya kenapa dia tak happy macam minggu sebelum, ni kenapa dia behave tak macam sebelum ni?
“Bila dia tak behave pula, macam-macam orang cakap dekat dia. Salah ke dia jadi diri dia. Berdosa ke korang,” coretnya.

Dalam hantaran sama, Ayu juga menitipkan kata-kata semangat buat Rieffa dan menyifatkan anaknya sebagai seorang yang kuat.
“Tapi apa pun terima kasih sebab yang ini korang nak kan, terima kasih sangat. Apa apa mama tahu kamu anak yang kuat, kamu anak yang hebat.
“Mungkin sebab kita tak ada bapa kot sebab tu orang kejam dengan kita kan. Apa pun anak mama dah buat yang sangat terbaik dah.
“Love anak mama, please kuat ya sayang, mama sentiasa ada buat kamu. Abaikan yang lain pikir diri kamu je okey,” tulisnya.
Minggu ketiga Big Stage Rocketfuel menyaksikan Sabrina diumumkan sebagai peserta kedua yang tersingkir.
Manakala, kedudukan pertama pula menjadi milik Adam Nazmie menerusi lagu Raikan Cinta nyanyian Datuk M. Nasir dengan markah tertinggi iaitu 74.33 peratus.
Seramai 11 peserta yang bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta finalis TTMM2 iaitu Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.