Sekilas
- Sharifah Mahani berkongsi bahawa Syed Saddiq kini lebih bertanggungjawab sebagai suami dan ayah selepas berkahwin dengan Bella Astillah.
- Majlis resepsi kenduri rakyat mereka di Muar dihadiri lebih 10,000 tetamu dari pelbagai negeri dan negara jiran.
- Syed Saddiq dan Bella selamat disatukan pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz berkongsi perubahan pada diri anaknya selepas bergelar suami kepada pelakon, Bella Astillah.
Menurut Sharifah Mahani, anaknya kini menggalas tanggungjawab baharu selepas bergelar suami dan menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab terhadap keluarga, selain memberikan perhatian serta kasih sayang kepada isteri dan anak-anak.
“Nampak dia lebih sikap bertanggungjawab pada keluarga kerana sekarang dia merupakan seorang ayah dan suami.
“Tanggungjawab dia lebih, insya-Allah dia boleh laksanakan. Memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada Bella dan anak-anak,” kongsinya.
Sharifah Mahani berkata demikian ketika ditemui Gempak di majlis resepsi ‘kenduri rakyat’ Syed Saddiq dan Bella Astillah yang berlangsung di Muar pada Ahad.
Dalam pada itu, Sharifah Mahani juga turut meluahkan rasa syukur apabila urusan pernikahan Syed Saddiq dan Bella berjalan dengan lancar.
Malah, dia bersama suami dan seluruh keluarga kini mendoakan agar rumah tangga pasangan itu sentiasa dilimpahi kebahagiaan serta berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Alhamdulillah, mama, abuya dan keluarga rasa bersyukur sangat apabila perlangsungan pernikahan telah selesai pasangan meroati sejoli Saddiq dan Bella.
“Sekarang kita doakan pula agar mereka bahagia dan sampai ke Jannah,” ujarnya.
Untuk info, lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan majlis resepsi pasangan pengantin baharu, Syed Saddiq dan Bella Astillah yang berlangsung di Muar, Johor pada Ahad.
Majlis yang bertemakan kenduri rakyat itu bukan sahaja menghimpunkan penduduk setempat, malah turut menerima kehadiran tetamu dari pelbagai lokasi termasuk Singapura, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.