Sekilas
- Ibu Syida Melvin, Robiah Rahman, mengakui sukar menerima perceraian anaknya tetapi percaya ia adalah jalan terbaik selepas usaha mempertahankan perkahwinan gagal.
- Robiah sentiasa memberi semangat kepada Syida untuk kuat dan menghadapi fasa baharu dengan senyuman walaupun rumah tangga sudah tidak dapat diselamatkan.
- Syida dan bekas suami, Mohamad Syafiq Azim Shahee, disahkan bercerai talak satu selepas berkahwin sejak 2019 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Ibu kepada pelakon dan usahawan, Syida Melvin iaitu Robiah Rahman mengakui bukan mudah untuknya menerima apabila rumah tangga anaknya berakhir dengan perceraian namun percaya perpisahan merupakan jalan terbaik selepas usaha untuk mempertahankan perkahwinan itu tidak berhasil.
Menurut Robiah, sebagai seorang ibu, sudah pasti dia mengharapkan Syida dapat mempertahankan rumah tangga dan hidup bahagia bersama pasangan sehingga ke akhir hayat.
“Tak ada seorang ibu pun dalam dunia ini yang nak anak dia berpisah. Setiap perkahwinan itu kita nak berpanjangan sampai bila-bila dan bahagia selamanya.
“Tapi kalau itulah jalan yang terbaik dan rumah tangga sudah tidak dapat diselamatkan lagi, lebih baik berpisah daripada membiarkan anak kita menderita,” katanya kepada Gempak.
Robiah berkata demikian usai prosiding perceraian anaknya dan bekas suami, Mohamad Syafiq Azim Shahee di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada pagi Rabu.
Dalam masa yang sama, Robiah memberitahu dia tidak pernah berhenti memberikan semangat kepada Syida agar terus kuat dalam menghadapi fasa baharu kehidupannya.
“Saya selalu pesan pada Syida, kuatkan semangat dan hadapi dengan senyuman.
“Apa yang jadi, biarlah terjadi. Kita sudah cuba sedaya upaya untuk berdamai dan kekalkan perkahwinan demi anak-anak, tetapi nampaknya sudah tidak boleh.
“Syida sendiri yang rasa dan melalui semua itu. Memang menjadi hak kita untuk menasihati dia, tetapi kalau sudah tidak boleh, nak buat macam mana. Perceraian adalah jalan yang terbaik,” katanya lagi.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Syida dan Syafiq berakhir apabila mereka disahkan bercerai talak satu pada jam 9.25 pagi rabu.
Sebelumnya, kemelut rumah tangga Syida bersama suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen mula mendapat perhatian selepas dia dilaporkan memfailkan permohonan cerai pada Disember tahun lalu.
Permohonan berkenaan difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor dan perkara itu turut disahkan oleh peguam yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah.
Untuk rekod, Syida atau nama sebenarnya, Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin mendirikan rumah tangga bersama Syafiq pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.
Sekadar info, Syafiq Azim merupakan anak kepada tokoh perniagaan yang dikenali sebagai Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid.