Peminat kumpulan Dolla dikejutkan dengan berita pembatalan konsert Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2025 di Idea Live Arena.
Berita sedih itu diumumkan menerusi satu hantaran di Instagram SAH Entertainment pada Jumaat.
Pengarah Sah Entertaiment, Sufie Rashid menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas menilai semula keseluruhan garis masa persiapan acara yang dilihat tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan.
“Selepas menilai semula keseluruhan garis masa persiapan, kami sedar persiapan akhir mungkin tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan. Meneruskan acara dalam keadaan tidak menentu ini boleh membawa risiko tidak perlu dan menjejaskan pengalaman pemegang tiket.
“Kami enggan menyampaikan persembahan yang kurang daripada apa yang terbaik daripada Dolla,” katanya dalam kenyatan tersebut. 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut berkongsi kekecewaannya terhadap pembatalan tersebut, apatah lagi selepas melihat sokongan luar biasa peminat Dolla, iDolla.
“Kami tahu betapa tinggi harapan peminat. Membatalkan acara bukanlah keputusan mudah, terutama apabila melibatkan kumpulan seperti Dolla dan hubungan mereka dengan iDolla. Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang timbul,” tambah Kim dalam kenyatan itu.

Kim Lim menegaskan komitmen Universal Music untuk memastikan keselamatan dan pengalaman terbaik buat peminat kekal menjadi keutamaan.
Semua pemegang tiket akan menerima pemulangan wang penuh (full refund) secara automatik melalui kaedah pembayaran asal tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

Pihak penganjur memaklumkan bahawa proses refund dijangka mengambil masa 3 hingga 4 minggu untuk muncul dalam akaun atau penyata bank bergantung pada penyedia perkhidmatan kewangan masing-masing.
Sebelum ini, nama Dolla meledak selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel dalam video muzik (MV) terbaharu mereka, Question.
Perkara tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang memaklumkan sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam berpakaian mencolok mata.
Katanya, beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia juga mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam MV terbabit yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.