Sekilas
- Datuk Yusry Abdul Halim melancarkan album EP terbaharu berjudul Eternal yang menampilkan genre rock, minat lama beliau sejak dulu.
- Keyakinan Yusry menyanyi lagu rock bertambah selepas menyertai The Masked Singer 2024, yang menjadi titik perubahan imejnya dari pop ke rock.
- Album Eternal mengandungi enam lagu dan dipilih sebagai tajuk kerana ia melambangkan kisah yang kekal bersama pendengar sepanjang hayat.
Penyanyi dan komposer Datuk Yusry Abdul Halim memberi dia sememangnya memasang impian untuk dikenali sebagai penyanyi rock selepas tampil dengan album EP terbaharunya berjudul Eternal.
Menurut Yusry, 53, minat terhadap genre rock bukanlah sesuatu yang baharu, malah kebanyakan lagu dalam senarai mainnya juga terdiri daripada muzik berentak rock.
“Alhamdulillah memang itu yang saya mahukan. Dari dulu lagi saya memang suka genre rock. Playlist dalam kereta saya pun semuanya lagu rock.
“Bila saya cakap dengan Lisa nak buat lagu rock, dia terus beri sokongan sebab itu memang minat saya.
“Kalau ada peminat yang suka saya menyanyi rock, itulah yang saya harapkan. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat hasilkan album EP ini mengikut apa yang saya mahu,” katanya kepada Gempak.
Yusry turut mendedahkan keyakinannya untuk menyanyikan lagu rock bermula selepas menyertai program The Masked Singer pada 2024.
Katanya, program tersebut menjadi titik perubahan untuk mencuba sesuatu yang berbeza daripada imej pop yang sudah lama sinonim dengan dirinya.
“Selepas berhenti menyanyi pada 2018, saya sedar saya sebenarnya boleh menyanyi rock ketika masuk The Masked Singer.
“Saya beritahu penerbit, kalau saya menyanyi lagu pop orang terus tahu itu Yusry. Jadi saya hanya setuju kalau dapat bawa lagu rock.
“Bila cuba, saya sendiri tak sangka boleh menyampaikan lagu Bunga Angkasa. Mungkin sebab lama berehat dan teknik nyanyian saya pun sudah berubah,” ujarnya.
EP Eternal memuatkan enam lagu iaitu Narsisistik, Jiwa & Raga, Kasarnya Cinta, Kamu Harus Tahu, Hancur Kecewa dan Pelengkap Hidup.
Mengulas mengenai judul album tersebut, Yusry berkata Eternal dipilih kerana percaya setiap individu mempunyai kisah yang akan kekal bersama mereka sepanjang hayat.
“Saya harap setiap lagu dalam album ini dapat menjadi peneman kepada pendengar, tidak kira apa juga fasa kehidupan yang sedang mereka lalui,” katanya.