Sekilas
- Khairul Aming terkejut apabila maklumat bil telefon peribadinya didakwa tersebar di media sosial.
- Beliau menegaskan bahawa bil telefon sudah dibayar lebih awal dan mempersoalkan bagaimana data peribadinya boleh bocor.
- Khairul Aming menggesa syarikat telekomunikasi memberi penjelasan mengenai dakwaan kebocoran maklumat tersebut.
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming mengakui terkejut apabila ada individu berkongsi maklumat bil telefon peribadinya kepada umum.
Perkara itu timbul selepas seorang pengguna media sosial meninggalkan komen mendakwa Khairul Aming mempunyai bil telefon tertunggak di laman Threads.
"Tak perlu beritahu sebab ini hal peribadi saya.
"Saya memang bayar bil in advance untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan dah balance drained. Tapi yang jadi creepy macam mana awak boleh tahu info bill Maxis saya ni sampai post ke public, Ini personal data saya," tulis Khairul Aming.
Khairul Aming turut menggesa pihak syarikat telekomunikasi tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan kebocoran maklumat tersebut.
“Mohon penjelasan macam mana personal phone bill saya boleh leak,” tambahnya.
Perkongsian itu pantas menjadi perhatian warga maya dengan ramai menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan data peribadi pelanggan, khususnya apabila melibatkan maklumat akaun dan bil telekomunikasi.
Dalam masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang berharap perkara tersebut dapat disiasat sekiranya benar berlaku kebocoran maklumat.
Sumber: Threads