Sekilas
- Seorang individu berkongsi pengalaman terserempak dengan penyanyi Yuna di sebuah kedai makan dan memilih untuk tidak mengganggu privasinya.
- Yuna membalas hantaran tersebut dengan mengucapkan terima kasih kerana diberi ruang dan berkongsi bahawa dia sedang berduka atas kehilangan anak kucing peliharaannya.
- Yuna mengajak peminat untuk mengambil gambar bersama pada masa hadapan ketika konsert dan sesi meet & greet.
Seorang individu berkongsi momen ketika dia terserempak dengan penyanyi terkenal Yuna ketika sedang menikmati makanan di sebuah kedai makan.
Menerusi hantaran di Threads, individu itu mengakui teruja melihat Yuna dari dekat namun memilih untuk tidak menegur atau mengambil gambar kerana mahu menghormati privasi penyanyi berkenaan.
“Tadi saya nampak Yuna makan kat Saddam Seksyen 23. Nak beritahu yang anda cantik sangat!
“Nak tegur dan ambil gambar tapi takut ganggu privasi. Jadi kita tengok dari jauh saja tapi anda sangat cantik,” tulis individu tersebut.
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian Yuna sendiri yang tampil membalas mesej berkenaan serta mengucapkan terima kasih kerana diberi ruang dan privasi ketika itu.
Menurut pelantun lagu Terukir Di Bintang itu, dia sebenarnya sedang berdepan emosi yang kurang baik selepas membawa kucingnya mendapatkan rawatan di klinik veterinar selain masih bersedih dengan kehilangan seekor anak kucing peliharaannya.
“Terima kasih untuk beri saya privasi dan masa untuk makan. Masa ini tengah serabut dan selekeh. Baru lepas bawa kucing pergi klinik dan tengah berduka salah seekor anak kucing kami yang mati.
“Lain kali kita ambil gambar, datang konsert dan meet & greet kita ambil gambar cantik-cantik ok!” katanya.
Sumber - Threads