Sekilas
- Influencer paranormal China, Jiang Xiaorou, meninggal dunia pada 10 Ogos selepas mengalami kemalangan jalan raya serius pada 15 Julai.
- Xiaorou terkenal dengan kandungan memburu hantu dan video kontroversi memecahkan patung Guanyin yang mencetuskan kecaman netizen.
- Keluarga Xiaorou meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kematiannya dan menghormati privasi mereka.
Pemergian influencer paranormal China, Jiang Xiaorou, 24, kembali menjadi bualan hangat selepas video kontroversinya yang pernah mencetuskan kecaman netizen muncul semula di media sosial.
Xiaorou dilaporkan meninggal dunia pada 10 Ogos lalu, hampir sebulan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya serius ketika menaiki kenderaan e-hailing dari Guangxi menuju ke Guangzhou pada 15 Julai.
Dia kemudian menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan dilaporkan mengalami kecederaan otak serius serta trauma pada beberapa organ.
Lebih mencuri perhatian, Xiaorou sebelum ini terkenal dengan kandungan memburu hantu, meneroka lokasi terbiar dan mencabar kepercayaan tahyul.
Dia mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di Douyin, platform media sosial China yang seakan-akan TikTok.
Nama Xiaorou pernah menjadi kontroversi pada Ogos 2025 selepas dia memuat naik video memaparkan dirinya memecahkan sebuah patung Guanyin menggunakan tukul.
Aksi tersebut dikatakan sebahagian daripada kandungan anti-tahyul yang mahu mencabar kepercayaan bahawa seseorang akan menerima balasan buruk jika melakukan perkara berkenaan.
Dalam video itu, Xiaorou dilaporkan turut berkata: “Mari kita lihat berapa lama saya boleh hidup.”
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi, dengan sebahagian netizen menganggap tindakannya keterlaluan dan tidak menghormati simbol keagamaan.
Apa yang membuatkan kisah ini semakin ‘seram’ adalah terdapat laporan Xiaorou pernah menghasilkan kandungan yang menyentuh soal karma dan kemalangan.
Menurut The Straits Times, dalam salah satu videonya, Xiaorou dilaporkan mencabar idea mengenai “karma” dan membuat kenyataan seolah-olah dia akan mengalami kemalangan kereta pada keesokan harinya.
Selepas dia benar-benar terlibat dalam kemalangan serius hampir setahun kemudian, kandungan lama itu kembali menjadi perhatian.
Tak hairanlah ada netizen yang mula bertanya: “Ini karma atau sekadar kebetulan?”
Malah, ada yang mengaitkan kematiannya dengan aksi memecahkan patung Guanyin sebelum ini.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak mempunyai bukti yang mengesahkan kematian Xiaorou berpunca daripada karma atau unsur mistik. Kemalangan jalan raya itulah yang dilaporkan menyebabkan kecederaan parah terhadapnya.
Malah, dalam kenyataan selepas kematiannya, keluarga Xiaorou meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi mengenai kematiannya.
Mereka turut meminta kandungan yang melibatkan privasi keluarga tidak dikongsi. Keluarga juga berharap orang ramai yang mahu memberikan penghormatan terakhir dapat melakukannya dengan tenang dan membiarkan Xiaorou dikenang dengan baik.