Sekilas
- Pelakon Nam Ron tertarik membintangi filem TERBANG kerana kisah legenda rali negara, Karamjit Singh, yang dianggap sebagai hero negara.
- Nam Ron memegang watak Rahim, pengurus pasukan rali yang berperanan penting sebagai 'anchor' dan sokongan moral kepada pemandu.
- Filem TERBANG, arahan Chiu Keng Guan, akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 September, termasuk dalam format 4DX.
Pelakon Nam Ron mendedahkan kisah legenda rali negara, Karamjit Singh menjadi antara sebab utama dia tertarik menerima tawaran membintangi filem TERBANG.
Menurut Nam Ron, dia sudah mengikuti perjalanan Karamjit sejak dahulu menerusi televisyen dan menganggap pelumba rali tersebut sebagai antara wira negara yang kisahnya wajar diketengahkan kepada masyarakat.
“Saya sebenarnya tertarik dengan cerita TERBANG sebab dia cerita pasal Karamjit Singh. Dulu pun saya memang tengok dia dekat televisyen, tengok dia berlumba dan sebagainya.
“Bila tengok, saya fikir, ‘Ini hero kita’. Bila mereka buat cerita pasal hero kita, sudah tentu kita nak terlibat sama.
“Sebab kita tahu ini cerita yang bagus dan satu kisah yang patut disampaikan kepada ramai orang.
“Kita nak terlibat sebab kita percaya dengan cerita ini,” katanya.
Dalam filem arahan Chiu Keng Guan itu, Nam Ron menggalas watak Rahim yang merupakan pengurus kepada sebuah pasukan rali.
Selain kisah Karamjit, Nam Ron berkata, karakter Rahim sendiri membuatkan dia semakin tertarik menerima tawaran tersebut kerana mempunyai peranan penting dalam pasukan.
“Watak Rahim pun menarik sebab dia macam ‘anchor’ kepada pasukan. Pengurus ini adalah ‘anchor’ bagi pasukan tersebut.
“Maksudnya, dia bukan sekadar fikir untuk menang perlumbaan atau mencapai sesuatu dalam pertandingan.
“Dia juga sangat dekat dengan pemandu dan pasukannya,” ujarnya.
Tambahnya, Rahim bukan hanya bertindak sebagai seorang pengurus, malah menjadi individu yang sentiasa berada di sisi anggota pasukan apabila berdepan masalah termasuk membabitkan kehidupan peribadi.
“Kalau ada masalah atau masalah peribadi sekalipun, dia tetap terlibat dan menjadi seperti bapa atau abang kepada pemandu-pemandu ini.
“Jadi karakter itu sangat menarik bagi saya,” katanya.
Untuk rekod, TERBANG diinspirasikan daripada perjalanan hidup Karamjit yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam arena rali antarabangsa.
Filem arahan Chiu itu turut dibintangi Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim.
TERBANG dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September depan termasuk dalam format 4DX.