Sekilas
- Komposer Ezra Kong dan Daiyan Trisha pernah bergaduh kecil ketika menyiapkan lirik lagu 'Jangan Lupa Jaga Dirimu' kerana penggunaan AI untuk semak tatabahasa.
- Perbezaan pendapat itu diselesaikan dengan merujuk ibu Daiyan sebagai hakim terakhir yang mengesahkan lirik tersebut betul dari segi seni.
- Lagu ini dihasilkan berdasarkan drama Anom Suraya yang diadaptasi daripada novel karya ibu Daiyan, dan Ezra berharap dapat terus menulis lagu untuk drama pada masa akan datang.
Komposer terkenal, Ezra Kong berkongsi kisah lucu apabila dia dan penyanyi serta pelakon Daiyan Trisha ‘bergaduh’ ketika sedang menyiapkan lirik lagu ‘Jangan Lupa Jaga Dirimu’.
Menurut Ezra, konflik kecil itu tercetus selepas dia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyemak tatabahasa dalam lirik berkenaan.
“Ini kisah saya gaduh dengan Daiyan Trisha waktu sedang siapkan lirik lagu ‘Jangan Lupa Jaga Dirimu’. Dulu saya semak tatabahasa dengan guru Bahasa Melayu.
“Tapi baru-baru ini, saya pun mula pakai AI untuk pastikan tak ada kesalahan dalam lirik. Bila AI kata ada satu ayat yang kurang tepat, Daiyan terus tanya, ‘Kenapa tanya AI?’
“Daripada nada WhatsApp dia, sah dia memang tak suka penggunaan AI. Rasanya marah sikitlah,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial.
Namun, perbezaan pandangan itu akhirnya diselesaikan dengan cara paling ‘selamat’ apabila mereka menjadikan ibu Daiyan sebagai ‘hakim’ terakhir.
“Last-last, kami rujuk mak dia sebagai hakim terakhir. Dan mak dia sahkan lirik itu sebenarnya betul dalam konteks seni,” ujarnya.
Mengimbas kembali bagaimana lagu tersebut tercipta, Ezra berkata semuanya bermula apabila Daiyan memberikan gambaran mengenai drama Anom Suraya, yang merupakan adaptasi daripada novel hasil karya ibunya sendiri, Dr Samsiah Mohd Nor.
“Bayangkan, novel ditulis oleh ibu, anak pula yang hidupkan wataknya di layar. Satu keluarga tapau semua.
“Memang satu cabaran untuk kami hasilkan lagu yang bukan saja sesuai dengan jalan cerita drama, tapi masih punya jiwa dan mesejnya sendiri.
“Lama kami bincang, pusing sana sini, pecah otak mencari rasa yang tepat. Akhirnya lahirlah lagu berjudul Jangan Lupa Jaga Dirimu,” jelasnya.
Bagi Ezra, pengalaman menghasilkan lagu untuk drama berkenaan merupakan sesuatu yang cukup menyeronokkan dan membuka ruang untuknya meneroka lebih banyak karya berkaitan drama.
“Harapnya lepas ini ada lagi peluang menulis untuk drama. Seronok rupanya bila cerita di layar bertemu kisah di studio. Dan tahu kesudahan sebelum episod pertama bermula. Pengalaman yang penat, tapi manis,” katanya.
Sumber - Threads