Sekilas
- Ili Ruzana mengumumkan pengunduran diri daripada Hitz FM atas kehendak sendiri dan dengan izin pihak stesen.
- Walaupun sukar meninggalkan dunia radio yang diminatinya sejak kecil, Ili bersyukur dengan pengalaman dan kenangan sepanjang bergelar penyampai radio.
- Ili mengajak peminat untuk terus mengikuti perkembangan terbarunya melalui Rindu Rasa Ibu Season 2 dan platform lain yang akan datang.
Bekas penyampai radio, Ili Ruzana berkongsi sebab dia memilih untuk mengundurkan diri daripada stesen radio Hitz FM.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Ili menegaskan bahawa keputusan untuk meninggalkan stesen berkenaan adalah atas kehendak dan pilihannya sendiri.
"Saya mahu anda semua tahu bahawa saya yang membuat keputusan untuk meninggalkan Hitz. Ia adalah pilihan saya sendiri.
"Saya telah meminta izin daripada pihak Hitz jika saya boleh keluar lebih awal, dan disebabkan mereka menghormati serta mahukan yang terbaik untuk saya, mereka meluluskannya," katanya.
Pada masa sama, Ili mengakui keputusan mengundurkan diri merupakan satu pilihan yang sukar memandangkan minat mendalam terhadap dunia penyiaran radio sudah bertapak sejak kecil.
"Secara jujurnya, jika diri saya ketika berumur 13 tahun ada di sini dan mendengar saya berkata mahu meninggalkan dunia radio secara sukarela, dia pasti akan terkejut dan sedih.
"Dia tahu betapa saya menyukai radio dan betapa kerasnya saya berusaha untuk sampai ke tahap ini. Memang rasa agak pelik apabila saya sendiri yang mahu pergi," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Ili meluahkan rasa syukur atas segala pengalaman dan kenangan yang dibina sepanjang bergelar penyampai radio.
"Saya sangat bersyukur dengan pengalaman ini. Saya gembira dapat berkongsi pandangan-pandangan saya sebelum ini dan ya, saya masih percaya peminum kopi itu ada 'red flag', maaf ya semua! Tetapi apa yang penting, saya mahu anda tahu bahawa saya kini berada di fasa paling bahagia dalam hidup saya.
"Jika anda masih mahu mendengar saya bercakap dan berkongsi pandangan, anda boleh tonton Rindu Rasa Ibu Season 2.
"Anda masih boleh ikuti saya di sini, jangan risau. Saya tidak sabar untuk membawa anda bersama-sama menempuh babak baharu dalam hidup saya. Banyak lagi perkara menarik yang akan datang," tambahnya.
Terdahulu, Ili Ruzanna mengumumkan pengunduran dirinya sebagai penyampai radio Hitz.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi segmen terakhirnya bersama barisan Hitz Morning Crew, Anne dan Prem pada Isnin.
Ili berkata, perjalanan bersama Hitz khususnya menerusi gandingan Hitz Morning Crew sepanjang tempoh tersebut memberikan banyak kenangan manis buat dirinya.