Sekilas
- Pelakon Eric Fuzi meluahkan rasa terkilan apabila masih menjadi sasaran komen body shaming di media sosial walaupun tidak mengganggu kehidupan orang lain.
- Eric menerima teguran yang baik dan membina, tetapi menegaskan pentingnya membezakan antara nasihat dan penghinaan.
- Dia menyeru masyarakat Malaysia supaya tidak berdiam diri terhadap buli siber dan menegur komen negatif agar budaya menghina tidak berterusan.
Pelakon, Eric Fuzi meluahkan rasa terkilan dan berang apabila masih menjadi sasaran komen ‘body shaming’ oleh segelintir pihak.
Menerusi satu hantaran di Threads, Eric berkata dia tidak memahami mengapa masih ada segelintir individu yang menjadikan bentuk fizikal seseorang sebagai bahan ejekan, sedangkan dia tidak pernah mengganggu kehidupan orang lain.
“Artis tak artis,netizen tak netizen, semua manusia sama rata. Orang body shaming aku, memang aku maki mencarut je balik, ingat title “netizen” tu korang je ke?
“Aku pun netizen! “Leher mana leher?” “Gemok tu gemok ni” Aku tak kacau hidup korang pun, ini semua k*mak,” tulisnya di Threads.
Dalam masa sama, Eric menjelaskan dia tidak menolak sebarang teguran yang disampaikan secara baik dan membina.
Malah, dia sendiri mengakui mahu memperbaiki diri, namun berharap orang ramai dapat membezakan antara memberi nasihat dan menghina.
"Biarlah saya hidup dengan aman. Kalau beri nasihat dengan baik, saya terima. Saya pun tak mahu keadaan saya macam ini.
"Tetapi ramai yang rasa mereka tahu segala-galanya dan mahu mengatur hidup orang lain sehingga lupa adab, hormat-menghormati dan sopan santun," ujarnya.
Eric turut menyeru masyarakat supaya tidak berdiam diri apabila melihat komen berunsur buli siber di media sosial.
Menurutnya, budaya membiarkan pelaku terus menghina orang lain hanya akan menyebabkan perbuatan itu berulang.
"Saya harap rakyat Malaysia, kalau nampak komen-komen berbentuk buli siber, tegurlah. Jangan biarkan budaya ini terus berlaku sehingga orang lain merasakan mereka bebas menghina sesiapa sahaja," tambahnya.