Sekilas
- Datin Intan Najuwa mengakui kehamilan kedua berlaku tanpa dirancang, sama seperti anak sulungnya, Imane Lunara.
- Intan percaya kehadiran anak adalah rezeki dari Allah dan tidak menolak kemungkinan untuk tambah anak pada masa depan.
- Beliau menegaskan tanggungjawab ibu bapa bukan hanya dari segi keperluan asas, tetapi juga kasih sayang, perhatian, dan didikan yang sempurna.
Pelakon, Datin Intan Najuwa mengakui kehamilan keduanya berlaku tanpa dirancang sama seperti kehadiran cahaya mata pertamanya, Imane Lunara.
Menurut Intan, kehadiran kedua cahaya matanya itu merupakan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Segalanya berlaku tanpa dirancang, termasuk dengan Lunara. Saya sentiasa percaya pada rezeki,” katanya.
Intan berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh seorang individu di Instagram Story.
Pada masa sama, Intan juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah bilangan anak pada masa akan datang sekiranya diberikan peluang.
Tambahnya lagi, tanggungjawab sebagai ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan asas, malah melibatkan kasih sayang, perhatian serta didikan yang sempurna untuk anak-anak.
“Kalau tanya saya, mungkin tiga orang anak, kalau ada rezeki dan Allah izinkan. Anak itu adalah amanah dan menjadi ibu bapa bukan perkara mudah. Ia lebih daripada sekadar memberi. Kita perlu beri kasih sayang, penjagaan dan segala yang mereka perlukan dalam hidup,” jelasnya.
Intan juga menegaskan bahawa perancangan keluarga perlu dibuat mengikut kemampuan masing-masing. “Jadi kita ikut kemampuan yang ada. Insya-Allah,” tambahnya.