Skip to main content

Muzik

InTeam, Anak-Anak Allahyarham Suhaimi Saad Rakam Semula Lagu Kias Cinta - "Ia Seperti 'Suara Ayah' Yang Kami ..."

kias_cinta

Lagu Kias Cinta yang pernah dipopularkan oleh Suhaimi Saad kini diberi nafas baharu menerusi versi Kias Cinta 2.0, nyanyian oleh kumpulan Inteam bersama dua anak lelaki Allahyarham Suhaimi, iaitu Hadie ElFardie dan Sallman Elkhoyri.

Projek istimewa ini diterbitkan oleh Inteam Records sempena Konsert Kasih Kekasih – 25 Tahun Inteam, dengan susunan muzik moden oleh Wan Saleh dan penerbit berbakat, Saudara Frizdan.

Advertisement

Kias Cinta 2.0 bukan sekadar rakaman semula, tetapi simbol warisan kasih sayang antara ayah dan anak-anak serta penghormatan terhadap perjalanan seni arwah Suhaimi Saad. Lagu ciptaan oleh Ismen Nadim Isam dari kumpulan Hijjaz manakala lirik oleh Atie.

Menurut Hazamin Inteam, “Ini bukan sekadar lagu lama diberi wajah baharu, tapi satu perjalanan emosi yang menghubungkan silaturahim kami dengan arwah dan anak-anaknya. Kami ingin lagu ini terus hidup dan menyentuh jiwa generasi seterusnya.”

Syah Inteam menambah, “Gabungan suara Hadie dan Sallman benar-benar memberi aura istimewa. Ia bukan sekadar kolaborasi, tapi satu penyatuan roh dan semangat dalam nasyid.”

Bagi Rahim dan Hisyam Inteam, Kias Cinta 2.0 menjadi lambang cinta yang kekal bukan hanya antara dua insan, tapi cinta keluarga, perjuangan dan dakwah melalui seni suara.

Nurdiana Naim atau lebih dikenali Ina Naim isteri kepada Allahyarham Suhaimi Saad terharu dengan tawaran yang diberikan oleh kumpulan Inteam untuk anak-anaknya menyanyikan semula lagu Kias Cinta.

Bagi Hadie ElFardie pula yang merupakan peserta Talk To My Manager berkata, “Lagu ini amat bermakna buat kami. Ia seperti ‘suara ayah’ yang kami teruskan. Kami harap ia menyentuh hati semua yang pernah mengikuti perjalanan seni ayah.”

Sallman Elkhoyri anak ketiga Allahyarham Suhaimi Saad pula berharap agar lagu ini menjadi inspirasi kepada remaja dan anak muda. “Kami ingin bawa semangat positif dan kasih sayang dalam lagu ini ke hati pendengar.”

Kias Cinta 2.0 diterbitkan secara rasmi pada 28 September 2025, dan kini boleh dinikmati di semua platform digital serta saluran YouTube Inteam Digital.

 

Must-Watch Video

Advertisement