Sekilas
- Pelakon Irfan Zaini mengakui awalnya takut dan bimbang memegang watak utama sebagai Ajeet dalam filem TERBANG yang diinspirasikan daripada kisah hidup legenda rali Malaysia, Karamjit Singh.
- Irfan mengambil masa untuk pertimbangkan tawaran itu kerana tanggungjawab besar dan ini adalah filem Melayu pertama beliau sebagai hero utama.
- Filem TERBANG diarahkan oleh Chiu Keng Guan dan dijangka memberi pengalaman tontonan penuh emosi serta mengangkat semangat patriotik penonton.
Pelakon Irfan Zaini mengakui pada awalnya berasa takut dan bimbang untuk memegang watak utama sebagai Ajeet dalam filem TERBANG yang diinspirasikan daripada kisah hidup legenda rali negara.
Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, berkata watak tersebut dianggap berat memandangkan ia mengangkat figura seorang tokoh yang masih hidup dan dikenali ramai.
“Pada mulanya saya takut sebab tak tahu sama ada layak atau tidak pegang watak ini.
“Watak ini berat sebab ia berkaitan seorang legenda yang hidup bersama kita dan pernah mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Menurutnya, tanggungjawab besar yang perlu digalas membuatkan dia mengambil masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.
“Saya rasa tanggungjawab itu sangat tinggi. Pada awalnya saya fikir sama ada nak terima atau tidak.
“Tapi bila pihak produksi dan pasukan percaya dengan saya, saya rasa kenapa tidak untuk cuba,” ujarnya.
Tambah Irfan, kepercayaan yang diberikan oleh pihak produksi menjadi pembakar semangat untuk menjayakan watak berkenaan.
Dalam masa sama, Irfan turut mengakui berdepan kebimbangan memandangkan filem tersebut merupakan naskhah Melayu pertama yang menampilkannya sebagai hero utama.
“Ini juga filem Melayu pertama saya sebagai hero, jadi saya risau sama ada boleh bawa penonton ke pawagam atau tidak.
“Tapi saya percaya pada skrip, pengarah, pasukan produksi dan pelakon lain,” katanya.
Menurutnya, dia melihat TERBANG sebagai sebuah karya berunsur patriotik yang mampu memberi impak kepada penonton.
“Saya rasa ini seperti filem patriotik sebab sudah lama kita tak ada karya seperti ini,” ujarnya.
TERBANG menampilkan gandingan pelakon seperti Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim.
Filem tersebut diinspirasikan daripada perjalanan hidup juara dunia pelumba rali Malaysia, Karamjit Singh dan diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang sebelum ini terkenal dengan filem pecah panggung seperti The Journey dan OlaBola.
Karya berkenaan dijangka memberikan pengalaman tontonan penuh emosi selain mengangkat semangat perjuangan ke layar perak pada tahun ini.