Sekilas
- Pelakon Irfan Zaini berkongsi pengalaman melakonkan babak mencabut pin tudung Zara Zya yang membuatkan dia rasa bersalah tetapi tetap profesional demi lakonan terbaik.
- Irfan dan pelakon lain berbincang dan mendapat persetujuan sebelum babak tersebut dirakam, serta dia mengakui beristighfar sepanjang babak itu.
- Irfan juga akan muncul dalam filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang akan ditayangkan pada September, bersama pelakon lain seperti Zizan Razak dan Diana Danielle.
Pelakon, Irfan Zaini berkongsi pengalamannya sewaktu perlu melakonkan babak mencabut pin tudung pelakon Zara Zya dalam sebuah drama yang dibintangi mereka.
Menurut Irfan atau Muhammad Irfan Mohamed Zaini, babak tersebut membuatkan dirinya berasa bersalah namun memilih untuk akur dan bersikap profesional bagi memberikan yang terbaik.
"Pertama sekali benda itu memang bila saya fikir sebagai Irfan akan jadi awkward (janggal). Rasa susah sikit sebab adik-beradik dan mak saya semua berhijab.
"Jadi, saya rasa bersalah sangat sebab macam sensitif. Tapi bila fikir sebagai watak, benda itu boleh buat netizen tertarik dalam episod itu, saya sanggup lakukan.
"Pengarah dan pelakon gandingan saya pun okey. Kadang-kadang pelakon gandingan tak selesa, kita tidak boleh buat,"katanya kepada Gempak.
Irfan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran Astro Fandom, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Irfan berkata dia kemudiannya duduk berbincang bagi memastikan babak tersebut dipersetujui terlebih dahulu oleh pelakon gandingan.
Malah, dia mengakui tidak putus-putus beristighfar ketika melakonkan babak berkenaan.
“Bila buat itu kena istighfar jugalah takut walaupun lakonan sahaja. Tapi memang sampailah babak itu.
"Memang dari awal kita dah berbincang. Kalau pelakon saya rasa bukan drama ini saja, memang selalu tanya dulu.
"Contoh kalau dia dah kahwin, kena tanya suami dia dulu. Saya fikir itu cara terbaik untuk lakukan.
"Ini hanya lakonan dan pengajaran. Jangan buat begini atau jadi macam Faris," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Irfan meluahkan rasa syukur kerana penonton memahami konteks sebenar dan tidak memberikan tanggapan yang negatif.
"Babak itu bukan idea saya. Saya beritahu pengarah saya sanggup buka butang baju saya sendiri tapi tak sanggup buka tudung.
"Kita duduk satu jam berbincang dengan penerbit, pengarah dan Zara. Pengarah kata tak apa, buka sahaja pin tudung, loceng akan ditekan, Datuk Adi Putra akan masuk.
"Saya pun okey, sebab itu saya muat naik belakang tabir. Tapi bila hasil keluar, orang suka dan faham," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Irfan bakal tampil menerusi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada September depan.
Selain Irfan, filem tersebut turut dibarisi pelakon seperti Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron dan Diana Danielle.