Sekilas
- Issey dan Fizie dari Bro Pagi Gegar berjaya menyiarkan siaran langsung dari puncak Menara 188 Kuantan, Pahang.
- Mereka turut mempersembahkan dikir barat di lokasi tersebut, menggabungkan elemen hiburan dan budaya Pantai Timur.
- THR GEGAR berhasrat terus mencipta kandungan segar yang dekat dengan pendengar sambil meraikan identiti budaya tempatan.
Dua penyampai Bro Pagi Gegar, Issey dan Fizie mencipta pengalaman berbeza apabila menawan puncak Menara 188 Kuantan, Pahang sambil membawa siaran radio secara langsung ke lokasi berkenaan.
Bukan sekadar menyelesaikan cabaran menawan puncak menara, kedua-duanya turut bersiaran secara langsung dari atas Menara 188 sekali gus memberikan pengalaman luar biasa kepada pendengar THR GEGAR.
Lebih menarik, Issey dan Fizie turut mempersembahkan dikir barat di puncak menara berkenaan, menggabungkan elemen hiburan dan budaya Pantai Timur dalam satu momen istimewa.

Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, aktiviti tersebut menjadi antara usaha stesen radio berkenaan membawa kandungan keluar dari studio dengan pendekatan yang lebih dekat kepada pendengar.
“Apa yang dilakukan oleh Issey dan Fizie hari ini bukan sekadar menawan puncak Menara 188, tetapi turut membawa THR GEGAR ke satu pengalaman yang cukup istimewa.
“Mereka bersiaran secara langsung dari puncak menara dan yang paling menarik, turut mempersembahkan dikir barat pada altitud tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.
Menurut Azah, pemilihan dikir barat turut membawa signifikan tersendiri kerana kesenian tersebut cukup sinonim dengan identiti Pantai Timur.
“Ini merupakan satu detik yang sangat bermakna buat THR GEGAR kerana kami sentiasa mahu mencipta kandungan yang segar, dekat dengan pendengar dan pada masa sama meraikan identiti serta budaya Pantai Timur.
“Dikir barat yang dibawakan oleh Issey dan Fizie di lokasi setinggi ini menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa,” katanya.

Dalam masa sama, Azah berkata pihaknya akan terus meneroka idea baharu yang menggabungkan hiburan, kandungan radio dan elemen budaya tempatan.
“THR GEGAR akan terus mencari idea dan pengalaman baharu untuk dibawakan kepada pendengar. Kami mahu setiap aktiviti bukan sahaja menghiburkan, tetapi mempunyai nilai tersendiri dan meninggalkan kenangan kepada pendengar,” katanya.