Isteri kepada pelakon Arash Mohamad, Noor Afidahwati Mohammad mengejutkan ramai apabila mendedahkan rumah tangganya bersama aktor tersebut sebenarnya sudah berakhir sejak setahun lalu.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Afidahwati, 43, menerusi satu hantaran di Instagram miliknya yang memaparkan kompilasi gambar kenangan bersama Arash, namun wajah pelakon filem Tembus itu telah dikaburkan.
Advertisement
Menerusi kapsyen yang ditulis, Afidahwati menjelaskan tujuan perkongsian tersebut dibuat adalah bagi mengelakkan sebarang salah faham atau fitnah daripada terus tersebar.
“Bismillahirrahmanirrahim. Tujuan posting ini hanyalah untuk mengelakkan fitnah dan salah faham. Setahun sudah berlalu… kisah 17 tahun kami berakhir dengan lafaz yang sah.
“Kini kami bukan lagi suami isteri, hanya dua hati yang pernah bertemu, lalu memilih jalan masing-masing. Semoga tenang ini kekal, dan doa yang baik terus mengiringi setiap langkah,” tulisnya.
Kenyataan itu sekali gus mengesahkan pasangan berkenaan sudah membawa haluan masing-masing selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga.
Untuk rekod, Afidahwati dan Arash mendirikan rumah tangga kira-kira 17 tahun lalu, namun tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.