Sekilas
- Nor Hasanah Yahaya, isteri pelawak Achey, berterima kasih atas bantuan suaminya menguruskan rumah dan anak mereka sepanjang rawatan IVF kali kedua dijalankan.
- Hasanah menghargai pengorbanan Achey yang banyak mengambil alih tugas rumah tangga dan mendoakan agar segala impian suaminya tercapai.
- Achey dan Hasanah telah berkahwin sejak 2011 dan memiliki seorang anak angkat, serta tidak berputus asa dalam usaha mendapatkan cahaya mata melalui rawatan IVF.
Isteri kepada pelawak Achey iaitu Nor Hasanah Yahaya meluahkan kata penghargaan buat suaminya yang disifatkan telah banyak membantu menguruskan keluarga sejak dia melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua sejak kebelakangan ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Hasanah yang mesra disapa Anne memaklumkan Achey banyak mengambil alih urusan rumah termasuk mengemas, membasuh pakaian serta menguruskan anak mereka, Tiara.
Ujar Anne, perkara yang dilakukan Achey mungkin nampak kecil pada sesetengah namun sangatlah besar pada dirinya.
“Terima kasih sayang, sebab banyak sangat membantu isterimu ini. Dah berapa bulan ni, sayanglah yang banyak uruskan rumah, kemas rumah, basuh baju, uruskan Tiara dan macam-macam lagi.
“Mungkin nampak kecil bagi orang lain, tapi bagi saya semua pengorbanan dan bantuan awak sangat besar nilainya. Terima kasih sebab sentiasa ada dan memahami,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Anne sempat menitipkan doa agar segala impian Achey tercapai serta mendoakan agar segala kebaikan Achey terbalas.
“Semoga segala apa yang awak hajati dipermudahkan dan tercapai sayang.
“Semoga Allah balas setiap pengorbanan awak dengan rezeki, kebahagiaan dan segala yang baik-baik. Sayang awak selalu,” tambahnya.
Pada Jun lalu, Hasanah berkongsi bahawa dia dan Achey mula memulakan langkah bagi menjalani prosedur rawatan IVF kali kedua.
Menurut Hasanah, dia dan Achey tidak akan pernah berputus asa untuk terus berusaha dan berdoa agar segala proses yang dirancang berjalan dengan lancar.
Sebelum ini pada Disember 2022, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 36, memaklumkan isterinya pernah menjalani proses rawatan IVF dalam usaha mereka menimang cahaya mata, namun rezeki belum menyebelahi mereka.
Untuk rekod, Achey dan Hasanah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan memiliki seorang anak angkat perempuan bernama Nur Tiara Zinnirah yang dipelihara sejak 2018.
Sumber: Threads