Sekilas
- Farah Athirah Rozman berkongsi penghargaan dan kisah perjalanan hidup bersama suaminya, pelakon Jazmy Juma, yang kini sudah sah bergelar suami isteri sejak 27 Jun lalu.
- Farah menyifatkan kehadiran Jazmy sebagai nikmat terbesar selepas kehilangan bapanya, yang membantu meringankan beban dan menjadi sumber kekuatan dalam hidupnya.
- Dia turut mendoakan agar rumah tangga mereka sentiasa dilindungi, dipenuhi keberkatan, dan terus menjadi tempat saling bersandar dalam setiap fasa kehidupan.
Isteri kepada pelakon, Jazmy Juma iaitu Farah Athirah Rozman menyorot perhatian apabila memuat naik kata penghargaan buat suaminya itu di Instagram.
Menerusi hantaran yang dibuat, Farah yang memuat naik foto perkahwinannya bersama Jazmy berkongsi perjalanan mereka yang melalui pelbagai fasa kehidupan sehingga akhirnya berumah tangga.
“Dua bulan yang lalu, kami secara rasminya disatukan sebagai suami isteri, menunaikan janji yang kami buat enam tahun lalu dan menjadikan impian yang pernah kami ada sebagai kehidupan yang kami doakan.
“Dalam setiap suka dan duka, setiap permulaan dan pengakhiran, entah macam mana kami tetap mencari jalan untuk kembali kepada satu sama lain. Selepas semua yang kami lalui, akhirnya kami sampai di sini sebagai suami dan isteri,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, Farah menyifatkan kehadiran Jazmy dalam hidupnya sebagai antara nikmat terbesar yang diberikan Allah, apatah lagi pelakon itu hadir sebulan selepas dia kehilangan arwah bapanya.
“Terima kasih untuk segalanya. Mengimbau kembali, Allah memang baik atas takdir yang manis dan indah yang ditulis untuk kita.
“Hadirnya awak dalam hidup saya betul-betul sebulan selepas saya kehilangan arwah abah dan itu merupakan satu nikmat yang paling besar.
“Waktu saya tengah cuba kumpulkan semula hidup saya, Allah hadirkan awak untuk meringankan semuanya. Dan sepanjang enam tahun ini, awak akhirnya menjadi sebahagian daripada hidup saya yang saya tak pernah sangka saya sangat perlukan,” katanya lagi.
Di akhir perkongsian, Farah menitipkan doa agar rumah tangga yang dibina bersama Jazmy sentiasa dilindungi serta dipenuhi keberkatan.
“Semoga Allah sentiasa melindungi perkahwinan ini, melindungi kasih sayang yang kita ada dan memenuhi perjalanan kita selepas ini dengan keberkatan yang tak berkesudahan.
“Semoga Allah jadikan kita sumber ketenangan, kekuatan dan tempat untuk kita saling bersandar, serta terus memilih satu sama lain dalam setiap fasa kehidupan yang bakal kita lalui.
“Saya akan sentiasa mencintai awak,” tambahnya.
Sekadar info, Farah sah menjadi isteri kepada Jazmy pada tanggal 27 Jun yang lalu.
Sumber: Instagram